Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: Satu catatan bersejarah

28 November 2022 08:15am | Masa membaca: 4 minit
PRU15 yang menyaksikan sejumlah keunikan dan kelainan tersendiri dalam sejarah pilihan raya demokratik negara terus disajikan dengan warna-warni sejak Parlimen dibubarkan.
PRU15 yang menyaksikan sejumlah keunikan dan kelainan tersendiri dalam sejarah pilihan raya demokratik negara terus disajikan dengan warna-warni sejak Parlimen dibubarkan.
A
A
A

MALAM kelmarin, saya telah berkesempatan untuk berkunjung ke pusat beli-belah di Putrajaya, selain meluangkan sedikit masa bersama anak, saya mahu merasai sendiri mood orang ramai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Wajah-wajah rakyat Malaysia selepas PRU15.

Putrajaya antara bahagian yang mendapat perhatian ramai kali ini. Ia sebahagian daripada 30 kerusi panas yang memikat banyak pihak. Kerusi yang tidak pernah berubah tangan sejak julung kali diperkenalkan pada tahun 2002.

Ia juga satu-satunya kerusi di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan pusat yang berusia suku abad lamanya. Berdasarkan pengalaman kewartawanan saya, sepatutnya wilayah itu sudah memiliki lebih daripada satu kerusi. Penguasaan Putrajaya kini diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan laporan media, undi 18 atau undi anak muda menjadi antara faktor penentu menyebabkan calon Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi itu, yang disandang sejak empat penggal lalu. Beliau ditewaskan oleh naib presiden Bersatu dan bekas menteri pendidikan dengan majoriti tipis 2,310 undi.

Sabtu lalu genaplah satu minggu PRU15 berlangsung dalam sentimen yang berbelah bahagi, di samping ramalan musim tengkujuh dan banjir. Ia juga telah sedikit sebanyak telah menggugat keharmonian kaum ekoran kempen mengikut garisan kaum dan agama.

RAKYAT TENANG

Pemerhatian saya menunjukkan orang ramai menghabiskan masa di pusat beli-belah dengan wajah yang riang ria, tenang dan tanpa rasa gelisah. Hari ini, kita diberikan cuti perisitiwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbanding kelmarin, pada sebelah malam 19 November lalu, majoriti rakyat duduk di hadapan TV atau melayari keputusan pilihan raya menerusi gajet masing-masing. Ada yang tidak tidur sehingga awal pagi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Perbincangan mengenai keputusan PRU15 terus menjadi bahan perbualan, debat dan polemik serta kontroversi. Satu senario agar luar biasa. Berbeza dengan situasi ketika PRU14 lebih empat tahun lalu.

Kali ini, para pemegang taruh menanti sehingga lebih empat jam selepas tengah malam untuk mengetahui keputusan akhir. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sidang akhbar kira-kira jam 4 pagi hari keesokan, 20 November.

Pun begitu keputusan akhir tidak membawa jawapan muktamad mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan di peringkat pusat dan dua lagi negeri, iaitu Perak dan Pahang. Kedudukan di Perlis agak jelas.

Debaran berterusan lebih 100 jam untuk menentukan siapa yang bakal menduduki Putrajaya – antara kerajaan majoriti mutlak, kerajaan minoriti atau kerajaan majoriti mudah. Akhirnya kita disajikan dengan satu kerajaan perpaduan meskipun ada yang menyifatkan ia sebagai kerajaan campuran.

Sebagaimana telah diramalkan sejak enam bulan yang lalu, tiada parti yang memperoleh kerusi mutlak untuk membentuk kerajaan. Rumusan ketika itu disokong dengan hujah bahawa gabungan utama perlu mendapatkan sokongan dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan pusat. Ia terbukti benar.

Tetapi yang akhirnya menjadi king maker adalah BN, gabungan veteran, tetapi yang lebih kecil berbanding semasa Mei 2018.

Nombor akhir hasil pengundian PRU15 – Pakatan Harapan (PH) dikurniakan 82 kerusi, PN (73), BN (30), GPS (23), GRS (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan KDM (satu).

Tinggal satu lagi kerusi yang kesudahannya akan diketahui 7 Disember susulan pengundian terpaksa ditunda dan diadakan semula berikutan kematian calon PH, M Karupaiya. Di peringkat negeri, kerusi Tioman, Pahang juga bakal menyaksikan pengundian.

PM IN WAITING

Anwar, Pengerusi PH dan Presiden PKR, yang sinonim sebagai ‘PM in Waiting’, telah diangkat sebagai Perdana Menteri. Penantian beliau selama 24 tahun berakhir pada 24 November. Anwar merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden UMNO ketika dipecat pada 2 September 1998.

Kemudian beliau membawa gerakan reformasi dengan menubuhkan PKR, yang dipimpin selama dua dekad oleh isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalan perdana menteri selama 22 tahun, dari Mei 2018 hingga Februari 2020, sebelum kerajaan pimpinan PH runtuh ekoran Langkah Sheraton.

Dengan Anwar menjadi perdana menteri melengkapkan pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi daripada UMNO dilantik menjadi ketua kerajaan. Dengan itu selepas ini, jawatan tertinggi tersebut bakal diisi oleh barisan pemimpin lebih muda secara relatif.

PRU15 yang menyaksikan sejumlah keunikan dan kelainan tersendiri dalam sejarah pilihan raya demokratik negara terus disajikan dengan warna-warni sejak Parlimen dibubarkan. Antara segala kelainan itu termasuk enam perkara yang telah digariskan di peringkat awal tulisan ini.

Penantian yang begitu lama untuk mengetahui keputusan akhir PRU bagi kerusi dewan perundangan peringkat persekutuan dan pembentukan kerajaan, serta akhirnya kita dikurniakan dengan sebuah kerajaan perpaduan. Buat pertama kali, peranan Majlis Raja-raja Melayu juga mengukir sejarah dalam proses ini.

Persaingan kali ini merupakan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara. Begitu juga banyak parti dan gabungan bersaing, sekali gus mencatatkan sejarah sebagai paling ramai bertanding kali ini. Seramai 945 calon menawarkan diri untuk peringkat Parlimen. Paling mencuri tumpuan ialah kerusi Parlimen Batu yang melibatkan saingan 10 penjuru, rekod calon teramai dalam PRU.

Sebagai pemerhati, pengundi berdaftar dan pencatat sejarah pilihan raya, saya juga melihat PRU15 telah merekodkan sebagai persekitaran politiking paling kotor. PRU15 menyaksikan tiada kawan tetap dan tiada musuh tetap dalam politik.

Berdasarkan kepada kempen pilihan raya yang begitu agresif dan saya sifatkan ‘agak kotor’ dengan pelbagai serangan dan label-melabel melampau, akhirnya mereka kembali ke meja perundingan, yang amat diperlukan untuk membentuk kerajaan. Rakyat dan pengundi terpinga-pinga apa sudah jadi dengan ahli-ahli politik kita ini. Inilah barisan ahli politik kita ada?

Kita berhadapan dengan norma baharu pilihan raya – PRU didakan secara berasingan. Jika situasi ini terus dipraktikkan, bermakna kita akan menyaksikan pilihan raya hampir setiap tahun. Sudah pasti akan ada PRU bagi enam negeri pada tahun depan, Sabah (2025), Sarawak dan Melaka (2026), Johor (2027). Cuma tahun 2024 akan bebas daripada sebarang pilihan raya. Itu pun bergantung kepada keadaan.

SUARA ANAK MUDA

Pilihan raya hanya merupakan sebahagian daripada komponen amalan demokrasi Malaysia. Usaha perlu dilipatgandakan untuk meningkatkan penyertaan rakyat dalam pilihan raya. Kita tidak boleh berhenti daripada menyediakan undang-undang. Sebaliknya perlu memberi penekanan seimbang ke atas pengisian, yang akan menyumbang kepada penyertaan tinggi rakyat setiap kali pilihan raya dilangsungkan.

Justeru itu, PRU15 telah membawa satu pengajaran cukup bernilai. Sudah tiba masa untuk mengkaji semula kerangka perundangan sedia ada supaya negara akan memiliki sistem pilihan raya lebih mantap. Tiga tahun lalu, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan laporan 49 syor kepada perdana menteri ketika itu. Diharap kerajaan perpaduan Anwar diharap akan melihat perkara tersebut selari dengan tawaran dan janji yang mereka hulurkan ketika kempen PRU15.

Di kesempatan ini, saya berhasrat merenung kembali titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika melancarkan buku yang saya tulis bersama, Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir pada 21 Mac lalu.

Antara lain, baginda yang turut merujuk kepada keputusan Parlimen meluluskan dasar Undi 18 pada Julai 2019, bertitah: “Keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

“Anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat lagi membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.”

Anak muda telah menjadi faktor penting dalam keputusan PRU15. Saya melihat tsunami rakyat tidak kira umur, kaum dan agama telah berulang dalam membawa gelombang baharu kali ini. Rakyat ‘nasional’ telah menentukan mandat mereka di semua peringkat.

Rakyat adalah raja. Ia telah terbukti dalam PRU14 dan PRU15. Ia boleh berulang apabila PRU16 tiba. Jangan terkejut! Sebenarnya parti-parti politik sudah pun menggerakkan kempen tidak rasmi ke arah PRU16.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Ismail Sabri dakwa MKT UMNO laksana hukuman pilih kasih
  2. Tali leher dan birokrasi
  3. Jikalau betul-betul bersih...
  4. Mogok mega landa Britain, terbesar sejak 2011
  5. Pilih kasih dalam isu dana politik