Sila log masuk terlebih dahulu.

531 kanak-kanak jadi mangsa dera

01 Disember 2022 08:00am | Masa membaca: 4 minit
Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 531 kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa dera di seluruh negara bagi tempoh lapan bulan pada tahun ini sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 302 orang merupakan kanak-kanak lelaki manakala 229 orang pula kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, berdasarkan statistik setakat Ogos itu, kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 201 orang.

“Kanak-kanak berusia di bawah setahun adalah kedua tertinggi iaitu 145 orang, diikuti kelas umur tujuh hingga 12 tahun (119 orang), 13 hingga 15 tahun (49 orang) dan 16 hingga 18 tahun (17 orang),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian.

Abd Jalil berkata, susulan hasil siasatan, seramai 361 pelaku yang terdiri daripada 158 lelaki dan 203 wanita telah ditahan.

Menurutnya, jumlah itu termasuklah dalam kalangan ahli keluarga, pengasuh, suami pengasuh, teman lelaki ibu atau teman wanita bapa, guru selain penjaga.

“Pecahan pelaku di kalangan ahli keluarga adalah seramai 227 orang iaitu bapa adalah tertinggi dengan 85 orang manakala ibu seramai 68 orang. Selebihnya adalah lain-lain.

“Bagi kategori pengasuh (77 orang), teman lelaki ibu dan teman wanita bapa (11 orang), guru (12 orang) dan lain-lain (34 orang),” ujarnya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jelas beliau, siasatan polis mendapati antara punca kes penderaan kanak-kanak ini adalah disebabkan sikap baran pelaku, kanak-kanak hiperaktif atau tidak ikut cakap, pengaruh dadah, mabuk serta tekanan.

Tambahnya, kes penderaan ini memberikan impak negatif pada mangsa iaitu kesan pada proses pembesaran, impak psikologi serta impak fizikal.

“Impak ini akan menjejaskan perkembangan otak, ketidakseimbangan antara kemahiran sosial, emosi dan kognitif selain kurang berkeyakinan, kegelisahan, gemar mencederakan diri sendiri dan cuba bunuh diri,” ujarnya.

Abd Jalil sehubungan itu mengingatkan masyarakat agar usah menjadikan penderaan sebagai kaedah mendidik anak selain meningkatkan kesedaran dan pupuk rasa sayang yang mampu mengelakkan diri daripada melakukan penderaan.

“Dahulukan dengan nasihat dan teguran, bukan sewenangnya menghukum dan memukul membuta tuli. Hukuman yang dikenakan sekali pun perlulah tidak melampaui batas sekadar cukup memberi pengajaran agar anak-anak tidak mengulangi kesilapan.

“Dapatkan khidmat nasihat seperti kaunseling, pakar perubatan dan ahli agama jika wujud sebarang bibit yang boleh menjurus ke arah penderaan,” katanya.

Pada 24 November lepas, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menangis selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkannya untuk membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella pada tahun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes bela diri itu pada 5 hingga 9 Disember depan.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dengan mengabaikan dan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


Statistik kes dera kanak-kanak bagi tempoh Januari-Ogos 2022


(A) Jumlah mangsa kanak-kanak

Lelaki - 302 orang

Perempuan - 229 orang

JUMLAH : 531 orang

(B) Pecahan umur mangsa

1 tahun - 145 orang

2-6 tahun - 201 orang

7-12 tahun - 119 orang

13-15 tahun - 49 orang

16-18 tahun - 17 orang

(C) Jumlah tangkapan

Lelaki - 158 orang

Perempuan - 203 orang

JUMLAH - 361 orang

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Pembersihan UMNO dibimbangi jadi racun toksik
  2. Jangan biar rakyat sengsara
  3. Noh akui antara 4 MKT tidak bangun sokong usul PAU
  4. Syor baucar untuk orang kurang mampu
  5. Bank digesa bayar ganti rugi mangsa tipu TH