Sila log masuk terlebih dahulu.

Padang Serai milik siapa?
Artikel percuma

06 Disember 2022 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KEHANGATAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai semakin hangat apabila nama-nama besar ahli politik dari seluruh negara turut turun padang berkempen.

Perebutan kerusi P017 di Kulim, Kedah ditunda pada Rabu ini (7 Disember 2022) berikutan kematian calon PH, M Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November iaitu tiga hari sebelum proses pengundian PRU15, 19 November lalu.

Karupaiya yang juga penyandang kerusi Padang Serai menang pada PRU14 dengan majoriti 8,813 undi mengalahkan dua calon lain daripada MCA dan Pas.

Ia juga boleh dikatakan cukup unik apabila Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut terbentuk semasa kempen di Padang Serai masih berjalan.

Sudah pasti pertandingan di kerusi ini amat signifikan bagi PH dan BN sebagai bukti sokongan rakyat terhadap penyatuan dua gabungan parti yang menjadi sejarah baharu buat negara.

PH yang mengetuai Kerajaan Perpaduan dikemudi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kemenangan di Padang Serai berpihak kepada mereka bagi menambah bilangan kerusi di Parlimen.

Isyarat itu jelas apabila PH dijangka menampilkan nama besar seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa lagi pemimpin lain dalam kempen ceramah yang hanya tinggal kurang 24 jam sahaja lagi bagi memberi penjelasan dan meyakinkan pengundi berhubung penyatuan kerajaan yang baharu dibentuk.

Bagaimanapun, tindakan Pengerusi BN, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengumumkan bahawa calonnya, Datuk C Sivaraj menarik diri di saat akhir bagi memberi laluan kepada calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak mungkin dilihat akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong India terutama ahli MIC.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rata-rata pengundi yang ditemui mengakui menyedari kehadiran dan khidmat Sivaraj di kawasan itu sejak kira-kira tiga tahun kebelakangan ini.

Kekecewaan akibat penarikan diri calon yang dibuat dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi dari tarikh pengundian mungkin boleh menyebabkan risiko undi protes sehingga pengundi India beralih arah kepada sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Sivaraj yang ditemui turut melahirkan rasa kecewa namun akur dengan arahan pihak atasan parti.

Menurutnya, adalah satu kesedihan apabila tidak dapat meneruskan khidmat bakti kepada penduduk Padang Serai yang sebahagian kecil dilihat serba kekurangan dari aspek kemudahan asas dan taraf hidup.

“Kita hanya merancang dan takdir yang menentukan, saya terima secara terbuka.

“Saya minta beliau (Mohamad Sofee-PH) agar melihat kepada mana-mana manifesto penting telah saya sediakan kerana ia berdasarkan kajian, tinjauan dan perjumpaan dengan masyarakat agar dimasukkan dalam manifesto beliau dan beliau menyatakan komitmen terhadap itu,” kata Sivaraj.

KELEBIHAN

PN yang mempertaruhkan ADUN Lunas yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Azman Nasrudin mungkin menjadi satu kelebihan.

Azman memegang portfolio Pertanian dan Industri Makanan, Pengangkutan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Hal Ehwal Masyarakat India mungkin lebih arif dengan kemahuan dan keperluan rakyat Kedah.

Gelombang kebangkitan rakyat yang disebut PN di seluruh negeri Kedah yang telah disapu bersih 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU15 membuktikan bahawa rakyat Kedah betul-betul mahukan gabungan itu meneruskan pentadbiran kerajaan negeri yang kini diterajui Menteri Besar dari Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Keyakinan PN juga semakin memuncak apabila melihat sokongan rakyat setiap kali siri kempen ceramah dan konvoi yang dianjurkan, sentiasa mendapat sokongan padu.

PN turut menampilkan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kasim yang juga Ahli Parlimen Arau yang kini menyokong PN, mendapat sambutan luar biasa di Padang Serai.

Namun, harus diingat bahawa Azman juga terpalit kontroversi sebelum ini apabila bertindak keluar PKR bersama ADUN Sidam, Dr Robert Ling bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga membolehkan PN mentadbir Kedah.

Sejarah itu kemungkinan boleh menjadi senjata buat penyokong PH bagi menghukum tindakan Azman memandangkan rakannya, Robert Ling yang juga merupakan Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah turut kecundang dalam PRU15 di kerusi Parlimen Sungai Petani.

Untuk rekod, PH hanya menang satu kerusi di Kedah iaitu Parlimen Sungai Petani dalam PRU15.

Dalam pertandingan kali ini, Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu Mohamad Sofee (PH), Sivaraj (BN), Azman (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Bagaimanapun, Parti Warisan mengumumkan tidak mengambil bahagian manakala BN menarik diri daripada bertanding.

Bagi pengundi Padang Serai, keputusan terletak di tangan anda.

Pilihlah pemimpin yang berkhidmat bukan sekadar ‘yang berhormat’ untuk menerajui masa depan negeri dan negara.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan