Sila log masuk terlebih dahulu.

[INFOGRAFIK] Gelora politik Sabah kembali tenang

Rombakan kabinet diharapkan dapat meredakan situasi politik Sabah

[INFOGRAFIK] Sabah tiba-tiba menjadi perhatian rakyat Malaysia apabila permukaan politiknya dilaporkan bergelora.

Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor itu didakwa bakal tumbang susulan wujud gerakan untuk menukar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu daripada terus menjadi Ketua Menteri.

Gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’ yang dikatakan bermula sejak 5 Januari lalu itu didakwa ada kaitannya dengan beberapa pemimpin parti daripada Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Dakwaan tersebut terbukti apabila Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Keputusan kami sebulat suara, UMNO-BN menarik diri dan menarik sokongan terhadap Hajiji selaku Ketua Menteri, kami sudah hilang kepercayaan,” jelasnya dalam satu sidang akbar pada 6 Januari lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, lima daripada ADUN BN enggan bersama parti tersebut, sebaliknya memberikan sokongan kepada Hajiji supaya terus menerajui kerajaan negeri.

Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu, Hajiji hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah kerana ADUN Sulaman itu telah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ini kerana seorang ketua Menteri seorang Ketua Menteri tanpa parti walaupun mendapat sokongan majoriti ADUN Sabah perlu meletak jawatan sepertimana termaktub dalam perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah, kata ADUN Senallang itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun mendakwa Hajiji layak meneruskan kempimpinannya di Negeri bawah Bayu itu kerana beliau telah menerima perakuan dan sokongan besar ADUN Sabah termasuk daripada Pakatan Harapan (PH).

Dakwaan tersebut kemudiannya telah disahkan sendiri oleh Hajiji yang mengumumkan beliau telah memperoleh surat akuan bersumpah (SD) daripada 44 ADUN Sabah, sekali gus menafikan spekulasi karajaan negeri akan tumbang susulan daripada penarikan sokongan ADUN BN.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 79 kerusi yang mana 73 daripadanya dimenangi parti bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada September 2020, manakala enam yang lain adalah ADUN dilantik.

Situasi politik yang membimbangkan itu akhirnya telah menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan Hajiji bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku.

Oleh yang demikian, beliau telah mencadangkan agar mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah bagi meleraikan kemelut yang melanda kerajaan negeri pimpinan Hajiji itu.

Cadangan Perdana Menteri itu turut mendapat sokongan daripada Bung Mokhtar dan Mohd Shafie agar sebuah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik di negeri itu ditubuhkan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan tidak berlaku sebaliknya Kabinet Kerajaan Negeri Sabah telah

dirombak dengan pelantikan tiga muka baharu dan pertukaran beberapa portfolio.

Rombakan telah menyaksikan nama Bung Mokhtar disingkirkan daripada jawatan Timbalan ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya.

Dalam masa sama, rombakan turut menyenaraikan dua ADUN PH sebagai menteri baharu di dalam Kabinet Kerajaan Negeri Sabah.