SHAH ALAM - Kerajaan boleh pertimbangkan pelaksanaan pemberian baucar makanan kepada golongan kurang berkemampuan dalam usahanya untuk memulakan dasar pemberian bantuan bersasar kepada rakyat.
Pakar Ekonomi University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor menjelaskan, kaedah tersebut dilihat mampu meningkatkan keberkesanan bantuan disalurkan untuk benar-benar mencapai golongan sasaran.
Jelasnya, ia juga secara langsung mengurangkan beban kerajaan untuk menanggung kos pemberian subsidi khususnya melibatkan bahan makanan asas.
“Kita kenal pasti bahan makanan asas yang kosnya tinggi contohnya telur dan minyak masak. Jadi, baucar makanan ini boleh ditukarkan dengan bahan makanan disenaraikan sahaja,” katanya Sinar Harian pada Khamis.
Kerajaan mengunjurkan perbelanjaan subsidi makanan bagi tahun 2022 berjumlah RM77.7 bilion.
Menurut Shazali, pemberian baucar itu boleh dilakukan melalui dalam talian di telefon pintar penerima manfaat dan tidak terhad secara fizikal.
Beliau berkata, kriteria perlu diambil kira dalam pemberian bantuan itu seperti tahap pendapatan, saiz isi rumah dan kadar kos sara hidup.
“Kalau pun isi rumah itu kelas pendapatannya berada pada kedudukan M40, tapi anak dia 10 orang, jadi mereka ini sepatutnya dapat,” jelasnya.
Tambah beliau, penggunaan big data amat penting untuk memastikan kejayaan program bantuan baucar makanan tersebut dan membolehkan ia mencapai objektif disasarkan.
Menurut Shazali, kerajaan juga perlu mengenal pasti rangkaian syarikat peruncitan yang sesuai untuk terlibat dalam program ini agar ia dapat dicapai oleh kumpulan sasar tersebut.
“Jadi, pasar raya yang terpilih itu juga perlu dipastikan tahap integritinya supaya tidak berlaku penyelewengan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian tunai boleh diteruskan di samping pelaksanaan baucar makanan tersebut.
“Tapi tidak perlu naikkan, kalau nak tingkatkan bantuan pun salurkan kepada nilai baucar makanan yang diberikan kepada rakyat,” jelasnya.
Shazali berkata, sistem bantuan baucar makanan itu telah pun dilaksanakan antaranya di Amerika Syarikat selama kira-kira lebih 30 tahun.
“Maknanya sistem itu telah digunakan berpuluh tahun di negara maju. Jadi, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh pergi ke arah itu,” tambahnya.