Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengkhianatan yang menyakitkan

31 Januari 2023 07:50am | Masa membaca: 4 minit
Pengkhianatan biasanya berlaku kerana pemangsa dikatakan rakus dengan kuasa, tamakkan pangkat, bercita-cita tinggi dan kerana itu dia sanggup melakukan apa sahaja. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Pengkhianatan biasanya berlaku kerana pemangsa dikatakan rakus dengan kuasa, tamakkan pangkat, bercita-cita tinggi dan kerana itu dia sanggup melakukan apa sahaja. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

ET TU, Brute - Kamu juga, Brutus? Itulah antara kata akhir yang diucapkan oleh Julius Caesar, panglima perang Rom yang hebat kepada Junius Brutus ketika dia dikepung dan ditikam oleh para senatornya.

Caesar dikatakan sangat tamakkan kuasa. Setelah berjaya dalam beberapa siri peperangan, Caesar bukan sahaja tidak mahu meletakkan jawatan sebagaimana diarahkan oleh Dewan Senat, malah kemudiannya menyerang Rom. Dia juga mahu menjadi raja.

Tak tahan dengan kerakusan Caesar, rancangan membunuh Caesar ini dilakukan bukan oleh orang lain, tetapi Brutus. Brutus ini bukan sekadar anak didik Caesar, tetapi juga orang paling dipercayainya.

Tetapi akhirnya Brutus mengkhianatinya. Begitulah salah satu versi yang selalu dipetik orang apabila menceritakan pengkhianatan Brutus terhadap Caesar. Sama ada ia hal yang benar terjadi, atau sekadar tulisan William Shakespeare sahaja tidak dapat dipastikan. Terlalu banyak versi cerita ini.

Begitulah cerita epik Rom di zaman silam. Pengkhianatan bukan sekadar sakitnya dihukum, dilukai hingga berdarah atau dibunuh, tetapi yang lebih sakit bila orang yang paling kita percaya menikam belakang. Ia meninggalkan kesedihan yang paling dalam.

Sebab itu juga orang lebih rela dijatuhkan oleh musuh, kerana telah sedia maklum itulah pekerjaan musuh. Tapi tak ada sesiapa pun yang menduga akan ditikam belakang oleh orang yang paling dipercayai.

Dalam sejarah, banyak lagi kisah pengkhianatan yang berlaku. Antara yang selalu disebut ialah pengkhianatan Alfred Redl, pegawai tentera Austria yang membocorkan rahsia kepada pihak Rusia dalam Perang Dunia Pertama yang kerananya dikatakan lebih 500,000 rakyat Austria telah terbunuh. Begitulah tragisnya kesan pengkhianatan.

Dalam politik, pengkhianatan mungkin sudah menjadi hal yang selalu terjadi. Sejak Langkah Sheraton pada tahun 2020 yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan, kita hampir setiap hari mendengar istilah ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Langkah Sheraton bukan setakat menyekat Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal untuk memimpin negara buat kali kedua, tetapi juga kemudiannya mengakhiri karier politiknya juga apabila kalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Langkah Sheraton ini jugalah menjadikan kita bertukar perdana menteri silih berganti.

Terbaru, ramai pemimpin UMNO telah dibuang atau digantung oleh parti kerana dikatakan mengkhianati parti sama ada lebih memihak kepada Perikatan Nasional atau ada isu tertentu ketika PRU15. Bagaimana pun, boleh jadi yang tersingkir itu berasa mereka telah dikhianati juga.

Sebenarnya cerita pengkhianatan ini ada di mana-mana. Dalam rumah tangga atau hubungan cinta, pengkhianatan dianggap berlaku apabila pasangan mula menjalin hubungan dengan pihak ketiga. Tak kurang kisah pengkhianatan cinta ini berakhir dengan perceraian dan keluarga porak-peranda.

Di tempat kerja, pengkhianatan juga boleh berlaku. Ia banyak dikaji dalam disiplin psikologi dengan tiga kata kunci utama iaitu trust, betrayal dan psychological contract. Apabila seseorang sudah dianggap pengkhianat, mereka juga telah dianggap telah memutuskan perjanjian psikologi, dan di situlah bermulanya seseorang itu dianggap tak berguna lagi.

Pengkhianatan ini biasanya berlaku kerana pemangsa dikatakan rakus dengan kuasa, tamakkan pangkat, bercita-cita tinggi dan kerana itu dia sanggup melakukan apa sahaja. Seorang rakan boleh mengkhianati rakan baik yang mungkin setiap hari minum kopi bersama, atau orang bawah mengkhianati ketuanya dengan agenda tersendiri.

Dalam politik, pengkhianatan mungkin sudah menjadi permainan mereka. Walaupun menyakitkan, tetapi kadang-kadang ia satu strategi juga. Tetapi dalam rumah tangga, tempat kerja, atau kehidupan lain, pengkhianatan sangat menyakitkan.

Anda pernah dikhianati? Jika ya, anda mungkin wajar juga mengulangi kata-kata Caesar, kamu juga? Atau kita ciptakan ayat baharu - Mengapa harus kamu? Tidakkah kau tahu kepercayaan itu lebih mahal harganya daripada nyawa, dan pengkhianatan itu lebih jijik daripada bangkai serigala?

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Adjunct Associate Professor di PSC Global Observatory, Universiti of South Australia.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Dari anak tani, Ab Rauf kini dijulang Ketua Menteri
  2. Perkara penting untuk pendidikan
  3. Kekang ketagihan telefon pintar
  4. Dilema Melayu atau dilema Tun M kekal relevan?
  5. Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu