DARKUSH - Di sebuah hospital di Syria, Osama Abdel Hamid cuba menahan sebak ketika dia mengimbau semula kejadian gempa dahsyat berkekuatan 7.8 skala Richter yang meragut nyawa jiran-jirannya dan menyebabkan kemusnahan harta benda yang amat besar.
“Kami sedang nyenyak tidur ketika gegaran kuat itu berlaku. Saya bingkas bangun lalu mengejut isteri bersama anak saya dan berlari ke pintu utama.
“Tetapi, kami tidak sempat menyelamatkan diri kerana rumah kami runtuh secara tiba-tiba,” ujarnya yang dirawat di Hospital al-Rahma di wilayah Idlib atas kecederaan dialaminya.
Mereka akhirnya terperangkap di bawah runtuhan bangunan setinggi empat tingkat tersebut yang terletak di perkampungan Azmarin berhampiran sempadan Turkiye.
Osama bersama keluarganya bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat.
“Dinding runtuh menimpa kami, namun anak lelaki saya berjaya keluar dan dia mula menjerit meminta tolong pasukan penyelamat yang berada di lokasi tersebut,” katanya lagi sambil menambah mereka kemudiannya dibawa ke sebuah hospital di Darkush yang terletak beberapa kilometer di bahagian selatan bersempadan dengan Turkiye yang menempatkan kubu terakhir kumpulan pemberontak di wilayah itu.

Kemudahan kesihatan itu dilaporkan terus dibanjiri mangsa cedera dan korban gempa tersebut.
Pakar bedah am, Majid Ibrahim menyifatkan situasi itu sangat mengerikan dan mereka mungkin tidak lagi dapat menampung jumlah mangsa yang terus meningkat.
“Kapasiti hospital ini sangat terhad. Ramai mangsa masih lagi terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Kami amat memerlukan bantuan perubatan segera di kawasan terjejas,” jelasnya.
Keadaan di pusat perubatan itu juga agak hiruk-pikuk dan sesak dengan mangsa cedera yang sebahagian besarnya adalah kanak-kanak.
Salah seorang pesakit dirawat ialah Mohammad Barakat, 24, yang mengalami patah kaki.
“Saya sempat membawa anak saya keluar dari rumah kami yang agak usang. Kebanyakan dinding rumah jiran sudah roboh ketika kami bergegas lari ke tepi jalan,” katanya.

Seorang penduduk di bandar utara Aleppo dikenali sebagai Anas Habbash pula berkata, dia berlari menuruni tangga apartmen yang menjadi kediaman keluarganya seperti ‘orang gila’ sambil membawa anak dan isterinya yang hamil.
“Ramai berada dalam keadaan takut dan terkejut. Ada yang melutut sambil berdoa dan menangis seolah-olah sedang berdepan dengan 'hari kiamat'.
“Impak gempa ini lebih dahsyat daripada perang saudara yang berlarutan di Syria sejak 2011. Keadaan ketika ini lebih sukar daripada menghadapi bedilan roket dan hujan peluru,” menurutnya.
Data diperoleh pemerintah menunjukkan lebih 1,000 terkorban dan kira-kira 3,500 dilaporkan cedera dalam tragedi gempa itu. - AFP