NAMPAKNYA belum habis lagi tindakan Tuk Seri PM pertahankan pelantikan anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.
Dah lama hal ini berterusan. Tuk Seri PM harus tahu, selalunya isu ‘panas’ macam ini bertahan paling lama, seminggu. Tapi isu pelantikan Nurul Izzah dan berlarutan dekat sebulan. Itu tanda tidak sihat.
Tandanya rakyat masih sukar nak terima pelantikan itu. Awang juga percaya, orang PKR dan parti gabungan PH serta parti dalam Kerajaan Perpaduan pun kurang senang dengan hal itu. Tapi ada yang memilih untuk mendiamkan diri.
Di luar sana, pembangkang guna isu itu untuk tunjukkan Tuk Seri PM janji lain, buat lain. Mereka kata ini soal prinsip. Tuk Seri PM cakap pasal soal integriti dan tadbir urus yang baik.
Tak cukup dengan itu, timbul pula cerita Speaker Dewan Rakyat lantik anak sendiri sebagai pegawai khas.
Selepas mesyuarat partinya dua hari lepas sekali lagi Tuk Seri PM ditanya soal itu.
Jawapannya, beliau yakin Nurul tidak akan guna kedudukan untuk pengaruhi keputusan dalam isu tender, kontrak dan projek. Awang tak tahu berapa lama lagi isu ini akan berlarutan.
Nampaknya tak ada tanda nak reda. Awang nampak hal ini akan jadi modal utama pembangkang dalam pilihan raya negeri akan datang.