AWANG tak beranilah nak kata tindakan ke atas mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin merupakan pertuduhan terpilih. Timbalan Presiden Pas awal-awal lagi dah kata demikian.
Tambah pelik apabila Tuan Ibrahim Tuan Man kata, tujuan tindakan itu nak alih perhatian rakyat daripada isu Menteri Dalam Negeri veto pegawai di kementeriannya berhubung keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Awang tak nampak di mana relevannya dua isu itu. Memang Awang pun tak setuju tindakan Tuk Seri Saifuddin Nasution.
Tapi isu dakwaan ke atas Muhyiddin adalah soal yang lain. Banyak juga yang kata hal ini tak dapat dielakkan. Beberapa orang kuat parti Bersatu dah disiasat dan didakwa.
Jadi apabila pertuduhan ke atas Muhyiddin itu membabitkan RM232.5 juta kes rasuah dan RM195 juta kes penggubahan wang haram, Awang taklah terperanjat sangat.
Ada yang kata padanlah Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) nampak cukup mewah dalam PRU15. Macam-macamlah cerita yang keluar.
Tapi Awang percaya dalam soal keadilan, biarlah perbicaraan yang menentukan betul salah seseorang.
Muhyiddin berhak bela diri. Lagi pun partinya berkempen atas prinsip ‘bersih’. Inilah peluang beliau buktikan pertuduhan itu tak benar.