Sila log masuk terlebih dahulu.

Penyokong Imran Khan jadi 'perisai manusia'

16 Mac 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
Beberapa penyokong yang menjadi 'perisai manusia' di luar kediaman bekas bintang kriket itu. Imran Khan (kanan).
Beberapa penyokong yang menjadi 'perisai manusia' di luar kediaman bekas bintang kriket itu. Imran Khan (kanan).
A
A
A

LAHORE - Pertempuran ganas terus tercetus antara penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan pasukan keselamatan selepas pemimpin itu kekal bersembunyi di kediamannya di Lahore sebagai cubaan untuk mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Sejak awal pagi Rabu, penyokong parti pembangkang, Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) tidak berganjak dan masih berhimpun berhampiran kawasan kejiranan di Zaman Park walaupun anggota keselamatan telah melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap kumpulan itu yang mula bertindak di luar kawalan.

Tindakan bekas bintang kriket berusia 70 tahun itu seolah-olah menggunakan kumpulan penyokongnya sebagai 'perisai manusia'.

Imran turut mengeluarkan rakaman video dengan berlatarbelakangkan bendera Pakistan dan PTI serta kanister gas pemedih mata sebagai cubaan untuk menyemarakkan lagi api kemarahan penyokongnya.

"Saya maklumkan kepada seluruh rakyat bahawa pasukan keselamatan akan datang lagi pada hari ini. Mereka akan tembak gas pemedih mata dan gunakan tindakan kekerasan lain. Tetapi, anda perlu tahu mereka tiada justifikasi untuk berbuat demikian," tegasnya.

Sebahagian penyokong PTI cuba menghalang kemaraan pasukan keselamatan ke kediaman bekas perdana menteri itu.
Sebahagian penyokong PTI cuba menghalang kemaraan pasukan keselamatan ke kediaman bekas perdana menteri itu.

Klip video menjadi tular di media sosial yang sebahagian besarnya dikongsi akaun rasmi PTI turut memaparkan beberapa penyokong mereka dalam keadaan berlumuran darah dan sebahagiannya kelihatan seperti sesak nafas kerana gas pemedih mata.

Difahamkan, ia adalah kali kedua dalam tempoh beberapa minggu pihak berkuasa dari Islamabad dikerahkan ke kediaman Imran di bandar timur Lahore selepas beliau gagal hadir pada beberapa tarikh mahkamah yang ditetapkan berhubung kes rasuah.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

"Kami berada di sini untuk melaksanakan tugas mengikut waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya," kata Timbalan ketua Polis Islamabad, Syed Shahzad Nadeem Bukhari.

Kehadiran pasukan keselamatan itu bagaimanapun mengundang kemarahan penyokong pemimpin pembangkang tersebut yang bertindak melemparkan batu dan objek lain ke arah anggota polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua PTI, Shah Mahmood Qureshi menegaskan mereka mahukan keamanan.

"Pihak berkuasa sepatutnya menyerahkan waran tangkap kepadanya dan berusaha mengelakkan sebarang pertumpahan darah," ujarnya.

Kekacauan itu kembali tercetus selepas Imran dipanggil bagi menjawab pertuduhan kerana tidak mengisytiharkan 'hadiah' yang diterima beliau ketika bergelar perdana menteri atau keuntungan yang diperoleh hasil daripada jualannya.

Percubaan pertama untuk menahan beliau juga gagal selepas pemimpin yang disingkirkan melalui undi tidak percaya tersebut berkeras enggan menyerah diri.

Krisis politik di Pakistan terus meruncing akibat kedegilan Imran.

Sebagai usaha meningkatkan tekanan terhadap kerajaan gabungan yang dipimpin penggantinya, Shehbaz Sharif, beliau bertindak mengadakan siri perhimpunan popular untuk menarik sokongan ramai.

Pada tahun lalu, drama politik Islamabad digemparkan dengan insiden Imran cedera ditembak pada kaki yang didakwa sebagai cubaan bunuh ke atasnya malah beliau turut menuding jari menyalahkan Shehbaz sebagai dalang kejadian tersebut.

Ketika ini, Pakistan dicengkam kemelesetan ekonomi dan situasi itu dikhuatiri bertambah buruk jika gagal mendapatkan bantuan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Selain itu, situasi keselamatan juga semakin merosot dengan siri serangan berdarah menyasarkan polis. - AFP

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Dari anak tani, Ab Rauf kini dijulang Ketua Menteri
  2. Perkara penting untuk pendidikan
  3. Kekang ketagihan telefon pintar
  4. Dilema Melayu atau dilema Tun M kekal relevan?
  5. Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu