Sila log masuk terlebih dahulu.

Transformasi industri kunci tingkat produktiviti
Artikel percuma

15 April 2023 08:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

DUNIA telah memasuki Zaman Kecerdasan Buatan (AI). Baru-baru ini, Kumpulan Alibaba dari China telah memperkenalkan alternatif kepada ChatGPT yang dinamakan ‘Tongyi Qianwen’ atau kebenaran dari seribu soalan.

Aplikasi seperti ini kini terdapat di mana-mana dan menimbulkan pelbagai cabaran baharu. ChatGPT juga telah meningkatkan kebimbangan terhadap plagiarisme dalam pendidikan dan industri kreatif.

Jangan risau! Artikel ini memang karya saya sendiri, bukan ditulis oleh ChatGPT! Berbalik kepada isu AI, bolehkah ia membantu menangani isu ekonomi yang sekian lama berlanjutan untuk Malaysia iaitu produktiviti?

Sebelum kita membicarakannya dengan lebih lanjut, ada beberapa fakta ‘pahit’ yang perlu kita akui. Pertama, dari tahun 1971 hingga 2000, Malaysia mendahului ASEAN dari segi kadar produktiviti buruh. Tetapi mereka mengatasi kita dari tahun 2000 dan seterusnya.

Tidak termasuk perlombongan, purata pertumbuhan produktiviti tahunan kita ialah 4.9 peratus dari 1987 hingga 1997, tetapi hanya 2.1 peratus dari 2007 hingga 2018.

Kedua, isu produktiviti dan sumbangan eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang lebih rendah berbanding syarikat yang lebih besar.

PMKS Malaysia menyumbang hanya 34 peratus kepada KDNK perkilangan dan hanya 48 peratus kepada guna tenaga sektor yang sama, yang mencerminkan genangan sepanjang tempoh 2015 hingga 2021.

Realiti ini mengurangkan keuntungan perniagaan dan melembapkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Lebih serius lagi, senario ini juga membantutkan pertumbuhan gaji terutamanya dengan 75 peratus pekerja Malaysia berada dalam sektor PMKS (termasuk perkilangan).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) - yang turut memantau dan menggalakkan produktiviti melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)yakin bahawa teknologi boleh menjadi pemboleh utama untuk pertumbuhan produktiviti di Malaysia, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana?

Sehubungan itu, saya kini mempengerusikan pasukan petugas Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kami ingin memacu transformasi industri dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan untuk mewujudkan industri yang berdaya saing dengan kerumitan yang tinggi; membina tenaga kerja yang berpendapatan tinggi dan mahir; mewujudkan hubungan domestik yang kukuh dan memulakan kelompok industri baharu, di samping memastikan penyertaan rakyat kita yang saksama dan inklusif dalam pembangunan perindustrian yang mampan.

Peranan

Dalam mencapai semua objektif tersebut, teknologi seperti robotik, automasi dan AI mesti memainkan peranan utama dalam perangkaan dasar.

Mungkin ada beberapa realiti yang pahit untuk ditelan, tetapi perubahan ini perlu bukan sahaja untuk memacu transformasi perindustrian kita, tetapi juga memastikan pemerkasaan sewajarnya bagi sektor PMKS dan rakyat kita supaya mereka boleh bersaing dan berkembang maju dalam realiti baharu.

Untuk mengimbangi kesukaran tersebut, industri yang disasarkan mesti disokong untuk membantu Malaysia menaiki rantaian nilai untuk menghasilkan produk yang lebih berbeza dan bernilai lebih tinggi. Terdapat banyak penyelesaian teknologi yang boleh membantu kita mencapainya.

Pertama, penyelesaian teknologi seperti ‘robot kolaboratif’ atau ‘proses automasi robotik’ boleh menjadikan tugasan seperti mengangkat barang berat atau memasang bahagian mikroskopik lebih mudah dan lebih menjimatkan kos.

Sistem AI juga boleh mengesan ralat dalam proses pengeluaran dengan cepat atau membantu dalam memperkemas rantaian bekalan dan pengurusan inventori.

AI juga boleh menganalisis data daripada proses pembuatan bagi menyokong penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) untuk pembaikan berjadual.

Dalam sektor peruncitan, analisis data melalui corak pembelian pengguna boleh menyokong pembangunan produk akan datang.

Semua ini memungkinkan penggunaan masa dan sumber yang lebih baik, komponen-komponen utama untuk produktiviti.

Kedua, industri berasaskan teknologi boleh meningkatkan kerumitan ekonomi kita - dan kapasiti menambah nilai industri kita.

Ringkasnya, kerumitan ekonomi merujuk kepada komposisi keluaran produktif negara dan mencerminkan strukturnya yang mengekalkan dan menggabungkan pengetahuan. Kesemuanya ini menyumbang kepada daya saing eksport kita.

Indeks kerumitan ekonomi kita meningkat dari 1998 dan memuncak pada 1.08 pada 2013, tetapi telah menurun sejak itu.

Proses ini boleh disongsangkan dengan mengukuhkan kapasiti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) kita.

Gabungan produktiviti dan kerumitan ekonomi yang lebih tinggi juga akan membolehkan gaji yang lebih tinggi, menggalakkan pertumbuhan gaji yang mampan dan meningkatkan daya saing eksport kita.

Ketiga, automasi juga boleh mengukuhkan tenaga kerja kita. Konsep yang sangat kontroversial dalam Zaman AI ialah apa yang dipanggil ‘kilang lights out’ iaitu kilang yang dikendalikan sepenuhnya oleh robot dengan interaksi manusia yang minimum.

Gambaran paling hampir kepada ‘kilang lights out’ ialah apabila saya baru-baru ini melawat kilang Zeekr di Bandar Ningbo, China, yang merupakan jenama EV premium Geely.

Kilang Pintar Zeekr menggunakan teknologi 5G dan lebih 300 robot untuk mengautomasikan sepenuhnya proses utama seperti bahagian kimpalan. Lawatan ke kemudahan yang sangat canggih itu membuka mata saya kepada potensi yang boleh diraih oleh Malaysia.

Sememangnya terdapat banyak perdebatan mengenai pembuatan lights out termasuk kesannya terhadap tenaga kerja kita. Tetapi trend ini akan berterusan kerana Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) tidak boleh dihentikan.

Saya percaya bahawa AI dan teknologi yang seumpamanya bukanlah ancaman dan boleh dimanfaatkan untuk kedua-dua industri dan tenaga kerja kita, tetapi mesti ada dasar yang betul dan perundangan yang sesuai untuk mencegah penyalahgunaan.

Sehubungan itu, pelabur peneraju teknologi internet Ron Conway juga dilaporkan akan bermesyuarat dengan pempengaruh terkemuka dalam industri AI untuk membincangkan cara membangunkan sistem AI tanpa kesan-kesan serius yang tidak diingini.

Keempat memperkasakan bakat kita. IR4.0 memberi imperatif kepada negara seperti Malaysia untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

Selain lebih ramai graduan STEM, kita juga perlu melatih semula tenaga kerja kita secara berterusan untuk memastikan kemahiran mereka kekal relevan.

MITI sudah pun merealisasikan sebahagian daripada matlamat ini melalui dasar Industry4WRD di mana pelbagai program telah diperkenalkan untuk menyokong penerapan teknologi IR4.0, termasuk menilai kesediaan industri, serta pembiayaan untuk automasi dan pendigitalan.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan