Sila log masuk terlebih dahulu.

Mengapa warga emas perlu bekerja?
Artikel percuma

11 Mei 2023 08:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

DI banyak negara maju, warga emas sudah menjadi sebahagian tenaga kerja yang penting. Ambil sahaja contoh Singapura, dari lapangan terbang antarabangsa di Changi sehinggalah tempat beli-belah, tenaga kerja warga emas kelihatan di mana-mana.

Menurut statistik terbaru, seorang daripada empat warga emas di Singapura masih bekerja. Malah menurut ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peratus mereka yang berusia 65 ke atas yang bekerja pada tahun 2050 akan menjadi 47 peratus.

Banyak negara maju sudah menerima hakikat bahawa telah berlaku anjakan demokrafik yang memerlukan kerajaan menilai semula tenaga kerja.

Banyak negara maju berdepan dengan masalah penuaan penduduk (ageing population). Akibat daripada kadar kesuburan yang menurun dan semakin berkurangnya perkahwinan di kalangan orang muda, proses penuaan penduduk menjadi masalah yang nyata dan membimbangkan.

Malaysia juga sedang menuju ke arah ageing nation. Secara lebih realistik pakar ekonomi terkenal, Dr Muhammad A Khalid meramalkan menjelang tahun 2030, mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan melampaui 15 peratus bilangan pekerja negara.

Peningkatan jumlah warga emas

Bank Dunia meramalkan bahawa menjelang tahun 2044 tidak kurang 14 peratus rakyat kita akan mencecah tahap warga emas. Lebih menakutkan menjelang 2056, kita akan berdepan dengan keadaan di mana 20 peratus penduduk kita akan mencecah usia lebih 65 tahun.

Malaysia nampaknya masih belum mempersiapkan diri menghadapi situasi sedemikian. Perlindungan sosial kita belum lagi mempunyai pelan dan strategi menghadapi krisis penuaan penduduk.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Malah buat masa ini dengan kadar 3.5 juta rakyat yang berada dalam kategori warga emas atau tujuh peratus penduduk pun, bajet tahunan kita masih tidak mencerminkan situasi masa depan sedemikian.

Implikasi ekonominya cukup besar. Manusia hidup lebih lama akibat kemajuan perubatan moden dan sistem sosial yang lebih baik.

Kos penjagaan warga emas sudah pasti meningkat. Walaupun rata-rata bilangan warga emas yang berpenyakit kronik dapat dikawal, tetapi kos perubatan kategori ini bertambah setiap tahun. Apakah sistem kesihatan kita dirangka untuk melihat 50 tahun ke hadapan dalam konteks ini?

Dalam sistem bermasyarakat dan era komunikasi hari ini, usia sahaja belum menentukan kemampuan. Banyak yang dianggap warga tua masih mampu menyumbang secara produktif.

Warga emas masih boleh melaksanakan pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti golongan muda jika diberi peluang. - Gambar hiasan
Warga emas masih boleh melaksanakan pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti golongan muda jika diberi peluang. - Gambar hiasan

Banyak yang berpendapat usia 60 tahun persaraan adalah sebenarnya kemuncak kebijaksanaan dan kemampuan berfikir. Bersara pada waktu kemuncak atau peak ini tentulah merugikan diri dan negara.

Di Malaysia umur pencen ditetapkan 60 tahun, sedangkan di banyak negara maju umur pencen sudah lama ditingkatkan. Beruntunglah mereka yang menerima persaraan bulanan.

Tetapi sebahagian besar tenaga kerja yang mencecah usia persaraan tidak punya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pelerja (KWSP) atau pun Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

Malah akhbar ini pada hari Selasa baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapat lebih tujuh juta atau 44 peratus daripada 16.7 juta tenaga kerja di Malaysia akan tua tanpa sebarang perlindungan kewangan masa depan.

Hal ini sudah tentulah menakutkan. Itu belum lagi hakikat bahawa banyak pencarum KWSP mempuyai simpanan yang tidak mencukupi untuk masa depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengingatkan bahawa simpanan persaraan rakyat Malaysia adalah pada ‘tahap membimbangkan’.

Apa yang penting adalah untuk menyediakan perancangan untuk memastikan pekerja mempunyai perlindungan kewangan. Juga memastikan bahawa generasi tua (generasi yang lahir tahun 50-an dan 60-an) terbela. Hal ini telah dilakukan di Singapura melalui skim Central Provident Fund (CPF), juga sistem kebajikan sosial melalui Pioneer Generation Package dan Merdeka Generation Package.

Masalah kepapaan dalam kalangan warga emas

Kita harus juga mengelakkan berleluasa kepapaan di kalangan warga emas. Dalam banyak kajian yang dibuat oleh negara maju, kemiskinan relatif sebenarnya amat ketara di kalangan warga emas.

Mereka tidak ada pekerjaan tetap lagi. Pada waktu yang sama, anak-anak mereka tidak boleh membantu disebabkan tekanan kehidupan mereka sendiri. Pada usia tua, peluang pekerjaan untuk mereka semakin terbatas. Lebih buruk lagi sekiranya mereka tidak sihat.

Kajian yang dibuat di Singapura menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di kalangan warga emas yang bekerja melompat daripada 13 peratus kepada 28 peratus dari 1995 hingga 2005. Pada tahun 2011, angka itu menjadi 41 peratus.

Hal ini tentulah membimbangkan. Saya percaya kita belum secara tuntas membuat kajian mengenai kemiskinan dalam kalangan warga tua.

Saya yakin situasinya tidak lebih baik daripada apa yang berlaku di Singapura. Malah kemiskinan dalam kalangan orang tua selalunya terbenam dalam lipatan fail birokrasi. Bagi banyak orang tua dan anak-anak mereka, kemiskinan sedemikian lebih baik dirahsiakan daripada dibesar-besarkan.

Tumpuan kita lebih banyak kepada kategori B40 dan miskin tegar. Besar kemungkinan kemiskinan persendirian dalam kalangan warga emas tidak dapat dipancarkan dengan tepat melalui statistik sedia ada.

Saya harap warga emas mesti diberi peluang untuk bekerja dalam sektor yang munasabah. Semestinya ada skim caruman atau simpanan hari tua yang lebih sesuai untuk mereka.

Pada waktu yang sama, perlu ada sistem insurans kesihatan yang boleh memudahkan mereka selain meringankan beban keluarga dan kerajaan.

Tidak ada malunya warga emas bekerja. Tambahan pula bagi mereka yang masih boleh menyumbang, ia akan membantu ekonomi.

Pada waktu yang sama banyak warga emas yang bekerja dapat mengurangkan beban stres dan tekanan persekitaran.

Kajian menunjukkan pendedahan pada rakan sekerja dan persekitaran banyak membantu warga emas yang masih bekerja. Malah ia akan mengurangkan ancaman dementia (nyanyuk) dan kemurungan dalam kalangan warga emas.

Cabaran negara masa depan adalah untuk memastikan bilangan warga tua yang semakin bertambah dapat menikmati kualiti hidup dan tahap kesihatan yang baik. Tiada siapa yang harus ditinggalkan dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dalam negara. Lebih-lebih lagi warga tua.

• Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau adalah salah seorang daripada 3.5 juta rakyat Malaysia yang dikegorikan sebagai warga emas.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan