Sila log masuk terlebih dahulu.

[MULTIMEDIA] ‘Pulau Pinang berasingan daripada Kedah’

Keabsahannya tidak boleh dipertikaikan kerana negeri itu berada di dalam Persekutuan Malaysia

[MULTIMEDIA] BARU-BARU ini, kedudukan Pulau Pinang telah menjadi perdebatan hangat sehingga mengundang kontroversi.

Ia tercetus susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik negeri Jelapang Padi itu.

Dakwaan tersebut dibuat dalam sebuah Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman, Kedah pada Mei lepas.

Menurut Muhammad Sanusi, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis.

“Saya tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri lain yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya,” katanya.

Susulan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah membuat kenyataan balas kepada Muhammad Sanusi agar perkara tersebut dibawa dan diselesaikan di mahkamah.

Polemik tersebut tidak berakhir setakat itu sahaja, sebaliknya berlanjutan sehingga menjadi perdebatan beberapa pihak melibatkan kerajaan, pakar, ahli politik dan persatuan sejarah.

Tidak cukup dengan itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap dakwaan Muhammad Sanusi itu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rata-ratanya mahu polemik pertikaian tersebut dihentikan kerana Pulau Pinang adalah negeri berdaulat di sisi Perlembagaan Persekutuan.

BERDAULAT

Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri (Undang-Undang dan reformasi Institusi, Ramkarpal Singh menegaskan, keabsahan Pulau Pinang tidak boleh dipertikaikan kerana negeri itu berada di dalam Persekutuan Malaysia.

Sejak zaman penjajahan British, Pulau Pinang diiktiraf antara Negeri Selat di bawah gabungan yang dikenali sebagai Straits Settlements atau Negeri-Negeri Selat, katanya.

“Beberapa perjanjian yang ditandatangani antara Kedah dan British dengan jelas telahpun mengiktiraf Pulau Pinang dan Seberang Perai (di tanah besar Pulau Pinang) sebagai sebuah negeri yang berdaulat,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang turut menyokong kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat.

Ini kerana Pulau Pinang telah dimeterai menjadi sebuah negeri yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri sendiri, kata Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Kader Md Ali.

“Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian daripada negeri dalam persekutuan,” tambahnya.

BERASINGAN

Dalam pada itu, Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 jelas menyatakan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.

Menerusi perjanjian yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu, Pulau Pinang diiktiraf sebagai negeri di Semenanjung, katanya.

Menurutnya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah menetapkan ada 11 negeri di Semenanjung.

Nik Ahmad Kamal berkata, jika Pulau Pinang itu sebahagian daripada Kedah maka hanya ada 10 negeri di Semenanjung, jelasnya.

“Pulau Pinang berdiri atas sebahagian daripada negeri yang tersendiri, sama juga seperti Kedah,” tambahnya.