SHAH ALAM - Kemampuan bekas pegawai tertinggi kerajaan yang dicalonkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) sama ada berupaya atau tidak menjadi nilai tambah bagi menarik sokongan pengundi terhadap gabungan itu bergantung kepada siapa individu tersebut.
Ketua Penyelidik Ilham Center, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, selagi calon-calon berkenaan tidak diumumkan, masih sukar untuk menjangkakan pengaruh terhadap pengundi.
Namun secara umumnya, bekas pegawai tertinggi kerajaan yang menjadi calon sememangnya merupakan figura berkualiti dan berprestasi tinggi dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Sebelum ini Pas sebagai contoh kerap menyenaraikan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas hakim dan pegawai tentera sebagai calon pilihan raya mereka.
“Di Terengganu sebagai contoh, Tun Salleh Abas iaitu bekas Ketua Hakim Negara pernah dicalonkan dalam pilihan raya umum (PRU) 1999, menang dan dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
“Banyak lagi contoh lain bekas pegawai tinggi kerajaan dinamakan sebagai calon pilihan raya dan menang kerusi ditandingi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya strategi PN mencalonkan pegawai tertinggi kerajaan pada PRN kali ini berupaya menjadi nilai tambah bagi pengundi untuk memilih gabungan berkenaan.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, beberapa bekas pegawai tertinggi kerajaan akan mewakili PN sebagai calon PRN di enam negeri 12 Ogos depan.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan mendedahkan, individu diketengahkan bukan sahaja pernah memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri malah persekutuan.
Sementara itu, ditanya sama ada faktor kemenangan kumpulan tersebut disebabkan faktor parti atau latar belakang mereka, Mohd Yusri yang juga penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, dalam konteks PRN, faktor parti masih mendominasi.
“Faktor calon hanyalah nilai tambah untuk meraih kemenangan.
“Dalam konteks PRN, faktor parti masih berperanan sebagai pengaruh paling penting untuk menentukan kemenangan,” tambah beliau.