Sila log masuk terlebih dahulu.

Larangan kempen 3R: Siapa selepas Sanusi?
Artikel percuma

18 Julai 2023 05:14pm | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang secara rasminya membuka tirai pada 29 Julai, kerajaan melarang pemain politik baik mewakili kerajaan mahupun pembangkang supaya tidak menjadikan isu 3R (raja, agama dan kaum) sebagai modal berkempen.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga telah memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sentimen atau bahan yang menyentuh sensitiviti 3R pada PRN nanti.

Beliau menegaskan, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikan tanpa mengira daripada mana-mana kumpulan.

Sepanjang larangan itu diperketatkan, beberapa nama besar politik telah terkait dengan isu 3R berkenaan antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dan hari ini menyaksikan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Muhammad Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa.
Muhammad Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Muhammad Sanusi kemudiannya mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah dan turut mendakwa ucapannya diputar belit Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bukit Aman juga sebelum ini mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R.

Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar menjelaskan, laporan polis yang diterima berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program 'Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023' di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagaimanapun menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan itu.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Guan Eng menegaskan, ucapannya itu sudah diputar belit sebaliknya beliau merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah.

Beliau berkata, fikirannya langsung tidak terlintas untuk menggunakan isu 3R demi meraih undi kerana yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara.

"Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Ahad memaklumkan kes siasatan terhadap Guan Eng dan Abdul Hadi sudah 70 peratus siap selepas semua keterangan melibatkan tokoh politik itu telah diambil.

Razarudin sebelum ini menjelaskan, siasatan ke atas Abdul Hadi itu susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden Pas.

Menurut Razarudin, hasil siasatan awal polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

Katanya, siasatan ke atas artikel itu berkaitan laporan berita bertajuk 'Hadi again accuses DAP of Chinese agenda, using Malay spokesperson to achieve goals'.

"Antara intipati kenyataan itu adalah DAP berhasrat mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang dianuti oleh Barat.

"Selain itu, antara intipati lain yang diterbitkan menerusi laporan itu adalah dakwaan Hadi bahawa 'DAP berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam'," katanya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan