Sila log masuk terlebih dahulu.

Sanusi hilang status MB, ADUN jika bersalah
Artikel percuma

19 Julai 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak bermasalah untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Kedah nanti, walaupun berdepan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa.

Bagaimanapun, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berisiko hilang status sebagai Menteri Besar Kedah dan kerusi DUN yang mungkin dimenangi beliau pada PRN nanti.

Jelasnya, senario itu hanya benar-benar berlaku jika Muhammad Sanusi disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman melebihi had hukuman yang membawa kepada ketidaklayakan untuk menjadi wakil rakyat.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh, Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Pendakwaan mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika bersalah.

“Meskipun hipotesis kemungkinan Sanusi bersalah bersifat pramatang, tetapi amat penting untuk mengetahui beliau berisiko besar terdedah kehilangan kerusi pilihan raya yang bakal dimenanginya pada PRN Kedah, mahu pun jawatan menteri besar yang dijangka kekal disandang beliau jika PN kekal mentadbir Kedah.

“Jangkaan itu terpakai sekiranya kadar hukuman dijatuhkan terhadap beliau, melebihi syarat kelayakan wakil rakyat di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan individu itu hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan bebas.

“Peruntukan sama turut wujud di bawah Perkara 47 Fasal 1(e) Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, namun saya percaya Muhammad Sanusi masih boleh mempertahankan diri dengan pendakwa raya perlu menunjukkan bukti kukuh,” ujarnya Mohamed Haniff Khatri kepada Sinar Premium pada Selasa.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mengulas dakwaan Muhammad Sanusi bahawa ia cubaan pembunuhan karektor politik, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu boleh membangkitkan perkara tersebut sewaktu perbicaraan mahkamah berlangsung.

“Tidak kira sama ada pendakwaan ke atasnya bersifat jahat, curang atau berbentuk pembunuhan karakter politik, beliau boleh membangkitkan isu itu di mahkamah dan meminta peguam membuktikannya.

“Segala perkara yang berkait dengan kes atau isu yang memberi kesan kepada integriti beliau perlu dibangkitkan di mahkamah memandangkan segala percakapan di luar mahkamah, tidak akan memberi kesan kepada keputusan hakim,” katanya.

Jelasnya, permohonan pendakwa raya untuk mahkamah menghalang Muhammad Sanusi memberi komen umum berkaitan kes itu di luar mahkamah adalah tidak munasabah, tidak wajar dan mengganggu hak tertuduh, sekiranya ia difailkan.

Persamaan kes 1998 Sementara itu, penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan kes penangkapan Muhammad Sanusi di awal pagi, ada sedikit persamaan dengan kes penahanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

“Sekiranya kes penangkapan Anwar akibat tuduhan rasuah yang akhirnya mencetuskan fenomena ‘reformasi’ dianggap satu bentuk pembunuhan karakter politik, mengapa tidak perkara sama boleh dianggap turut berlaku pada Muhammad Sanusi yang mungkin menguatkan lagi fenomena gelombang hijau pada PRN enam negeri?

“Sebagaimana penahanan Anwar sewaktu zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dilakukan di saat beliau mencapai puncak populariti politik, perkara sama dialami Muhammad Sanusi yang kini dianggap bintang politik PN paling menyinar.

“Sama ada beliau bakal dijatuhkan hukuman bersalah atau tidak, itu soal lain.

“Namun saya percaya, agak sukar untuk pendakwa raya membuktikan Menteri Besar Kedah itu bersalah memandangkan definisi kesalahan menyentuh 3R (kaum, agama dan raja) masih tidak jelas dan penuh kelompongan,” katanya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan