SHAH ALAM - Seperti mana titah Raja-Raja Melayu sempena sambutan Maal Hijrah pada Rabu lalu, pemimpin kerajaan dan pembangkang perlu melakukan perubahan dengan tidak menggunakan isu sensitif seperti perkauman dan agama sebagai satu senjata bagi mendapatkan kuasa.
Timbalan Ketua kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman berkata, perkara tersebut akan memecahbelahkan keharmonian negara dan menjadi ancaman yang paling bahaya kepada sebuah negara berbilang bangsa.
Katanya, titah Raja-Raja Melayu penuh dengan nasihat dan panduan yang boleh diambil iktibar oleh rakyat jelata.
“Menjelang musim pilihan raya negeri (PRN) Ogos ini, saya berharap setiap daripada kita berkempen dengan baik dan tidak menyentuh langsung isu-isu 3R (agama, raja dan kaum).
“Jika kerana kempen rakyat berpecah belah ia akan menyukarkan kerajaan untuk mentadbir seterusnya menjalankan dasar-dasar untuk rakyat kerana fokus akan lari kepada menyatu padukan semula keharmonian masyarakat dan ia sangat merugikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sempena sambutan Maal Hijrah, Raja-Raja Melayu menitahkan beberapa perkara kepada rakyat sebagai peringatan demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya menjauhi budaya fitnah, hasad dengki dan sikap prasangka.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula menitipkan doa agar umat Islam di negara ini melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada berkawan.
Menurut Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya berlaku atau terus berlaku di negeri ini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pula bertitah, baginda tidak perkenan dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik sehingga menimbulkan ketidakharmonian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim pula berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan politik negara kembali pada landasan yang betul sebagai lembaran baharu umat Islam.
Beliau berkata, pemimpin politik tidak kira parti perlu mengambil perhatian mengenai perkara tersebut memandangkan titah itu sememangnya ditujukan kepada mereka.
“Kita junjung titah yang dikeluarkan Raja-Raja Melayu. Maksudnya sekarang ini ada keruncingan dalam politik negara sehingga baginda turut memberi perhatian bagi mengekang masalah menjadi besar.
“Bawa sikap baik dalam urusan kita termasuk melibatkan politik supaya keharmonian kemakmuran dapat dipelihara. Sekarang kita semua tumpukan kepada kerja sekali gus mengangkat kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
Bagi Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, titah Raja-Raja Melayu sebenarnya adalah satu peringatan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya ahli politik.
“Saya menjunjung perintah tuanku kerana sangat baik dan bertepatan. Saya bersetuju dengan baginda agar tidak melampaui batas ketika berkempen atau menyerang lawan, tapi biasa lah dalam politik.
“Selain itu, saya tekankan bahawa dalam masjid bukannya tidak boleh berpolitik tetapi bukan berkempen kepartian. Menyentuh isu ekonomi, umat Islam rasanya tiada masalah,” jelas beliau.