Sila log masuk terlebih dahulu.

Habitat politik baharu negara
Artikel percuma

23 Julai 2023 07:45am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

ARENA politik Malaysia perlu dihubung kait dengan dua sifat iaitu amalan penggabungan politik dan kedua adalah politik keetnikan dan agama.

Ini melengkapi takrifan politik sebagai seni segala kemungkinan; konsortium angka; dan tidak ada kawan atau musuh yang tetap tetapi hanyalah kepentingan.

Konsensus dan perseteruan adalah lumrah bila mana kita menyelusuri amalan dalam gelanggang politik tanah air dengan rujukan ke atas semua 15 Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sejak merdeka.

Bila mana ini keadaannya, apakah yang boleh dihadam dan dicerna dalam habitat politik baharu negara?

Antaranya adalah sejauh manakah proses pembaharuan yang menyeluruh dilakukan untuk mendakap hubungan yang intim dalam gabungan baharu baik untuk Kerajaan Perpaduan mahupun blok Perikatan Nasional (PN).

Ujiannya adalah hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta hubungan parti Bersatu dan Pas dalam PN.

UMNO memerlukan rakan sekutu untuk pengukuhannya apabila fragmentasi pengundi Melayu agak ketara.

Sejarah PRU 1999 boleh dijadikan iktibar untuk melihat bagaimana isunya di PRN 2023.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Barangkali mahu dielak ‘tsunami Melayu’ kali ini jika berhati-hati bila mana ada juga merasakan PRN tidak penting kerana sudahpun dibentuk kerajaan Persekutuan.

Ada isyarat simbolik perlu dibaca dalam gerakan memindahkan pengundi secara tidak langsung.

Begitu juga dengan kehadiran ‘saf serpihan’ yang cuba kucar-kacirkan dari luar parti yang kian menjadi dalam kediaman politik kini.

Mana-mana blok hanya memerlukan seorang ‘jeneral’ untuk menggemudi dengan ‘gurkha’ yang setia. Kerap kali parti menyatakan ‘selesa untuk menang’ sedangkan kempen seperti itu boleh makan diri.

Masuk gelanggang seolah-olah akan kalah akan meningkatkan tekad kemenangan dan motivasi dalam percaturan yang penuh provokasi dan propaganda.

Satu pasukan dan satu matlamat adalah agendanya, pemimpin akar umbi wajar diberi pengiktirafan sebaiknya agar gerak kerja berjalan dengan licin dan lancar.

Jika Kerajaan Perpaduan berpusat kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi, gabungan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tok Guru Hadi Awang juga cuba membentuk pasukannya.

Kebelakangan ini, hala tuju blok sering didepani dengan isu sentimen dan emosi.

Cabarannya adalah ke atas capaian beberapa kelompok pengundi sama ada yang kali pertama mengundi, pengundi tegar, pengundi atas pagar dan yang sering melakukan protes. Kesemuanya penting.

Habitat politik baharu dipenuhi dengan wajah mereka termasuk pengundi lelaki dan wanita serta kategori umur remaja, belia, muda, dewasa dan warga emas.

Kempen ‘kalih bagi sama’ penting untuk blok-blok dominan hari ini. Semestinya perlu berwaspada dengan elemen ‘sokong bawa rebah’ yang berpura-pura menyokong tetapi akhirnya kalih kepada yang lain.

Habitat politik baharu juga akan dihujani dengan tembakan di alam maya.

Medan siber boleh menjadi penentu congakan pengundi terutama kontestasi ke atas pengundi Melayu saban hari mencabar. Kandungan yang disebar akan menjadi tumpuan pelayar Youtube (70%); Facebook (59.3%); Instagram (40.7%) dan TikTok (56.6%).

Habitat politik baharu juga akan menjadi perhatian pemilihan calon serta agihan kerusi yang dibuat. Ini kerana literasi politik semakin meningkat dan ‘politik kelas’ juga mula mencuri tumpuan.

Oleh kerana PRN adalah pilihan raya bersifat lokal, kearifan tempatan perlu ada dalam agenda blok atau calon yang bertanding.

Pemetaan politik dengan parameter sesuai di bawah penjajaran baharu perlu ada. Konfigurasi jelas dengan watak kewarasan politiknya dalam kompas yang melengkapi politik identiti dan penggabungan bila mana habitat politik sudah menjadi seperti candu, ketagih untuk mencari kuasa dan kedudukan.

Budaya politik kini memerlukan tawaran formula yang sesuai merentasi etnik dan kelas disamping naratif, penjenamaan dan pemasaran yang komprehensif bersifat substantif dan bukan sekadar memenuhi keperluan cabang prosedural demokrasi di Malaysia.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan