Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengundi Melayu jadi penentuan?
Artikel percuma

23 Julai 2023 08:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

RAKYAT Malaysia akan menyaksikan pertembungan antara dua gabungan parti politik yang terbesar dalam negara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 pada 12 Ogos 2023 ini.

Malah, keputusan PRN yang melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dijangka mengejutkan ramai pemerhati politik malah penyokong setia parti yang bertanding dengan harapan menang besar.

Meskipun PRN ini tidak berkaitan dengan perwakilan Parlimen, ada pihak mengaitkan keputusan PRN ini dengan kedudukan status quo kerajaan Persekutan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah ada pihak mendakwa PRN kali ini merupakan satu bentuk referendum dalam mengabsahkan kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan apabila keputusan PRU-15 diakhiri dengan fenomena hung parliament atau ‘Parlimen gantung’ di mana tidak ada satu parti pun memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Dari segi demografinya, jumlah pengundi yang terlibat dalam PRN ini adalah lebih 9.77 juta. Majoritinya adalah terdiri daripada pengundi Melayu terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam pada itu, lebih daripada lima puluh peratus (51.1%) pengundi adalah berumur antara 18 hingga 39 tahun.

PRN pada kali ini juga akan menyaksikan parti dalam gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai satu pasukan buat pertama kalinya.

Lebih-lebih lagi UMNO dan DAP akan bertanding dalam satu pasukan dalam sejarah Malaysia.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rakyat Malaysia masih ingat betapa kuatnya UMNO secara amnya dan pengundi Melayu secara khususnya menentang calon-calon DAP dalam pilihan raya sejak PRU ke-3 pada tahun 1969 sehingga PRU-15 pada tahun 2022.

UMNO dan DAP merupakan parti yang menentang satu sama lain secara keras sejak parti DAP ditubuhkan dan menyertai pilihan raya di Malaysia pada tahun 1965.

Sekiranya diimbas kembali sejarah politik negara, terdapat beberapa usaha untuk menggabungkan parti-parti Melayu bersama DAP dalam satu gabungan bagi mengalih sokongan pengundi Melayu daripada UMNO.

Misalnya, penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif yang melibatkan DAP dengan parti-parti Semangat 46, PKR dan Pas untuk menentang BN dalam PRU ke-8, tahun 1990 dan PRU ke-9 (1995).

Namun, pakatan gabungan parti-parti Melayu dengan DAP tidak berjaya memperoleh kemenangan dalam pilihan raya tersebut kerana gagal meraih sokongan majoriti pengundi Melayu.

Umumnya, pakatan DAP dan PKR didapati menguasai kawasan bandar, manakala Pas menguasai kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Dengan PH kerjasama dengan BN, diharap PH mampu meraih sokongan pengundi Melayu di luar bandar.

Namun, perkembangan akhir-akhir ini didapati Pas semakin menyusup ke dalam minda pengundi Melayu dalam kawasan bandar dan luar bandar.

Walau bagaimanapun, sentimen rakyat di akar umbi membayangkan bahawa persaingan hebat dan sengit akan berlaku antara gabungan PH-BN dan PN dalam meraih sokongan besar daripada para pengundi Melayu.

Dalam pada itu, meskipun Kerajaan Perpaduan kepimpinan Anwar melaksanakan pelbagai program transformasi dalam pentadbiran, iaitu dalam tempoh masa tujuh bulan sejak PH-BN mengambil alih tampuk pentadbiran negara, rakyat jelata dikesan kurang tertarik dengan prestasi kerajaan PH-BN, sebaliknya kecewa kerana kerajaan dilihat gagal memenuhi harapan mereka dalam usaha meringankan beban kos hidup mereka dan penurunan harga barang.

Apa pun, PRN pada kali ini dijangka akan menyaksikan timbulnya sindrom pola pengundi yang berpecah belah kepada dua kumpulan iaitu para pengundi Melayu di satu pihak dan para pengundi bukan Melayu kepada satu pihak yang lain seperti berlaku pada PRU ke-3 (1969).

Kita tunggu dan lihat.

* Datuk M Periasamy adalah penganalisis sosial politik

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan