Sila log masuk terlebih dahulu.

Tindakan umum bantuan tidak salah dari segi undang-undang
Artikel percuma

31 Julai 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman bantuan kepada rakyat yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan satu kesalahan berdasarkan kerangka perundangan sedia ada.

Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, kedua-dua pemimpin tersebut tidak berkempen untuk calon, sebaliknya mengumumkan projek dan dasar atas kapasiti umum mereka sebagai anggota pentadbiran kerajaan pusat.

Katanya, lagipun projek dan pemberian bayaran khas yang diumumkan itu tidak mengatakan bahawa ia bagi tujuan mendapatkan sokongan undi di enam pilihan raya negeri (PRN).

“Satu lagi ialah perlu ada maksud pemberian bantuan iaitu memberikan wang, projek dan sebagainya bagi tujuan memancing undi.

“Sebagai contoh, jika seseorang itu mengatakan bahawa dia akan memberikan sesuatu dengan alasan akan diberikan undi atau mahu mendapat undi, ia akan menjadi satu kesalahan,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid telah mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid juga meluluskan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, selain RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Anwar pula pada 27 Julai lalu telah mengumumkan pemberian e-wallet RM100 kepada semua belia.

Manimaran yang juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir berkata, bagaimana pun terdapat dua pandangan dan pendirian yang berbeza dalam isu ini.

“Pertama wujud unsur-unsur berbaur rasuah dan sogokan manakala yang kedua, terdapat kekaburan daripada aspek kedudukan individu yang membuat janji sebelum tempoh kempen. Kita perlu melihat aspek tempoh berkempen.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mendefinisikan tempoh berkempen adalah bermula dari masa pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan di dalam bahagian pilihan raya yang baginya dia dilantik dan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi,” katanya.

Ujar beliau, jadi wujud kekaburan dalam peruntukan undang-undang semasa.

“Jika mana-mana pihak lawan merasakan bahawa pengumuman Ahmad Zahid dan Anwar sebagai satu bentuk sogokan, ia boleh dibawa ke mahkamah dalam bentuk petisyen pilihan raya untuk didengar oleh hakim.

“Pernah ada kes umpama itu pada tahun 1981 susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pangkalan Kota, Pulau Pinang yang melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang ketika itu berkhidmat sebagai Menteri Kewangan,” jelasnya.

Menurut Manimaran, Tengku Razaleigh telah membuat janji bahawa sekiranya calon BN menang, beliau akan memberikan peruntukan besar untuk membantu sekolah-sekolah Cina di kawasan itu.

“Calon BN menang dalam PRK itu. Dalam kes petisyen ini, mahkamah memutuskan tidak ada perbuatan rasuah kerana mengikut hakim, Tengku Razaleigh berjanji atas kedudukannya sebagai menteri yang menjalankan urusan rasmi pentadbiran kerajaan dan bukan atas dasar peribadi.

“Maka, wujud pelbagai situasi yang kabur, yang memerlukan reformasi undang-undang supaya semua pihak jelas mengenai soal rasuah dan sebagainya,” ujarnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan