Sila log masuk terlebih dahulu.

Faktor kos sara hidup warnai PRN
Artikel percuma

31 Julai 2023 07:45am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PADA Sabtu, pilihan raya negeri (PRN) untuk enam negeri telah dibuka gelanggangnya secara rasmi. Keseluruhannya, 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat termasuk Parlimen Kuala Terengganu dan 572 calon layak bertanding.

Sebelum itu, kerajaan telah mengumumkan kerangka ekonomi baharu iaitu Ekonomi Madani yang menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Ia menyasarkan peningkatan ekonomi menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun dan peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah 40 peratus menjelang 2025.

Selain itu, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara pada Jun 2023 dilaporkan mereda kepada 2.4 peratus yang menjadikannya kadar terendah dalam enam bulan pertama tahun ini.

Persoalan yang timbul, adakah harga sebahagian besar barangan semakin stabil di pasaran? Adakah harga sebahagian besar barangan kekal, naik atau turun sedikit harganya? Adakah harga sebahagian besar barangan kekal atau turun secara berterusan dalam beberapa bulan lalu sehingga hari ini?

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebelum ini telah menasihati agar berhati-hati terhadap inflasi kerana inflasi teras masih tinggi, malah lebih tinggi daripada biasa.

Beliau juga berpandangan, inflasi yang tinggi boleh menjejaskan kuasa beli dengan nilai wang berpotensi lebih rendah pada masa depan. BNM juga menyatakan walaupun inflasi teras telah menyederhana tetapi ia kekal tinggi berbanding purata jangka panjang dalam persekitaran faktor permintaan dan kos yang berpanjangan.

Dalam konteks berbeza, keadaan berkemungkinan lebih jelas di peringkat lapangan. Dalam beberapa siri penulisan sebelum ini, penulis telah menghuraikan keadaan sebenar di lapangan. Daripada kaca mata pengguna, nilai RM100 untuk membeli barangan ketika ini begitu kecil jika dibandingkan lima atau 10 tahun lalu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Daripada kaca mata sebahagian peniaga pula, untuk memperoleh keuntungan RM100 sehari amat mencabar. Itulah realiti yang berlaku di lapangan. Berapakah harga Milo dua kilogram sekarang? Beberapa tahun lalu, ia boleh diperoleh dengan harga RM29.90 tetapi kini harganya dalam lingkungan RM37.

Harga susu pekat manis 500 gram beberapa tahun lalu boleh dibeli dengan harga sekitar RM2 tetapi sekarang di sebahagian tempat harganya melebihi RM2.80. Tentu sekali harga milo ais di sebahagian kedai makan juga turut naik dengan harga melebihi RM3 segelas.

Terbaharu, Rusia telah menarik diri daripada perjanjian bijirin Ukraine yang akan berpotensi menjejaskan bekalan makanan global. Pada masa sama, India telah mengenakan larangan eksport beras utama yang turut mencetuskan kebimbangan inflasi.

India menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia dan itu bermakna larangan eksport dalam penghantaran bakal meningkatkan harga makanan. Malaysia juga sebelum ini turut mengimport beras dari India, selain Thailand, Vietnam dan Pakistan.

Disebabkan kebergantungan tinggi kepada negara luar, maka amat berisiko berlaku kenaikan harga beras pada masa akan datang. Terdapat keperluan untuk dipertingkatkan pengeluaran dalam negara dengan mengoptimumkan penggunaan sumber dalaman agar kebergantungan kepada barangan import dapat dikurangkan.

Akhirnya, situasi semasa ketika ini umpama lirik lagu Lukisan Alam, dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz yang begitu popular suatu masa dahulu. Lagu itu sering dimainkan oleh rakan baik penulis di biliknya semasa kami sama-sama di Kolej Kediaman Blok Pintar, Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hidup tidak selalunya indah,

Langit tak selalu cerah,

Suram malam tak berbintang,

Itulah lukisan alam.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan