CALON Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN), Dr Hafidzah Mustakim bukanlah asing buat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.
Mana tidaknya, doktor perubatan itu pernah menjadi calon PH bagi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Hazelen Liana Kamarudin bersama Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Kelantan itu menjelang PRN, 12 Ogos ini.
SINAR HARIAN: Apa janji dan perancangan Dr kepada penduduk DUN Kota Lama?
Dr Hafidzah: Saya tekad menjadikan pemulihan dan perkembangan sosial ekonomi dengan berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda dan semua golongan di kawasan ini.
Pada masa sama, kita akan menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas mesra keluarga di DUN Kota Lama.
Saya juga bertekad menyelesaikan isu masalah air, lampu jalan, jalan berlubang selain pasar awam bersih dan selesa.
Penambahbaikan fasiliti riadah untuk keluarga, taman rekreasi, menambah baik kebajikan golongan rentan, mudah terkesan, wanita, warga emas, OKU akan turut diberikan perhatian.
Adakah Dr hadapi cabaran sewaktu berkempen?
Cabaran itu ada, namun alhamdulillah, ALLAH mempermudah segala urusan di sini (Kota Lama) dengan sokongan padu daripada rakan-rakan gabungan Barisan Nasional (BN).
DUN Kota Lama mempunyai penduduk yang majmuk, jadi macam mana gerak kerja kempen?
Pengundi Cina paling ramai di sini. Alhamdulillah, saya turun padang menyantuni mereka dan sokongan yang diterima ketika ini amat baik sekali menerusi pelbagai program ziarah.
Tempoh berkempen 12 hari, apakah persediaan Dr?
Memang memenatkan, tapi saya bersyukur kerjasama erat antara PH dan BN melancarkan lagi pergerakan jentera berkempen. Insya-ALLAH, kita dapat lakukan dengan baik.
Apa perkara pertama akan dilaksanakan sekiranya menang di DUN Kota Lama?
Ucapan syukur pada ALLAH dan penghargaan buat semua pengundi yang mahukan perubahan. Selepas itu saya akan fikir perancangan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.