SERAMAI lebih 90 individu atau hampir 16 peratus peratus daripada 570 calon bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini adalah terdiri daripada calon ‘kitar semula’ atau mereka yang pernah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau pilihan raya sebelum ini.
Antara nama besar yang kalah pada PRU namun masih diangkat oleh parti menjadi calon dalam PRN enam negeri nanti termasuklah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Perikatan Nasional (PN) yang kini berpindah dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa ke DUN Hulu Kelang.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan berpindah ke kampung halamannya di Hulu Kelang selepas tewas di Parlimen Gombak kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu dengan majoriti 12,729 undi.
Di DUN Hulu Kelang, Mohamed Azmin akan menentang Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiah Zulkifli. Kerusi tersebut sebelum ini disandang oleh Saari Sungib daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Srikandi Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun yang tewas di Parlimen Sepang pada PRU15 lalu pula diangkat menjadi calon PN di DUN Batu Tiga, Selangor menentang calon PH, Danial Al Rashid.
Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Timbalannya, Datuk Johan Abdul Aziz yang tewas pada PRU15 lalu untuk bertanding di DUN Gombak Setia dan DUN Dusun Tua.
Megat Zulkarnain bakal menentang penyandang kerusi DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, manakala Johan berhadapan dengan saingan tiga penjuru bersama calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad dan wakil PN, Azhar Hambali.
Penganalisis Politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjelaskan, biarpun kalah pada PRU15 lalu, namun peluang semua calon untuk menang kerusi DUN ditandingi, masih terbuka luas kerana kempen PRN enam negeri baharu sahaja bermula Sabtu lalu.
Syarat untuk menang
Awang Azman berkata, pemimpin parti berkenaan masih boleh mencipta kejayaan dan menebus maruah mereka jika penyokong parti dan pengundi setempat dapat menerima secara terbuka kehadiran calon kitar semula terbabit.
“Misalnya, saya berpandangan Megat Zulkarnain dan Johan masing-masing mampu menang kerusi Gombak Setia dan Dusun Tua jika mereka mendapat sokongan padu penyokong PH, selain penyokong setia UMNO/BN sebelum ini.
“Bagaimanapun, calon kitar semula PN seperti Mohamed Azmin dan Rina sukar menang di kerusi DUN Hulu Kelang dan Batu Tiga kerana mereka tidak mempunyai penyokong yang ramai dan terpaksa bergantung kepada penyokong dan jentera Pas untuk meraih undi di kawasan terbabit,” katanya kepada Sinar Premium.
Di Pulau Pinang, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menjadi calon BN bagi berhadapan dengan penyandang kerusi DUN Bertam.
Pada PRU15 lalu, Reezal Merican yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas tewas kepada calon PN, Dr Siti Mastura Muhammad dengan majoriti 2,867 undi dalam saingan empat penjuru.
Selain itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau menjadi taruhan PN di DUN Bayan Lepas.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula menjadi dua nama besar dipertaruhkan semula oleh BN dan PH untuk bertanding di DUN Pedu dan DUN Alor Mengkudu.
Mahdzir yang juga Pengerusi BN Kedah, berhadapan cabaran satu lawan satu dengan penyandang kerusi Pedu daripada PN, Mohd Radzi Md Amin.
Mahfuz pula terpaksa bekerja keras untuk menewaskan legenda Hijau Kuning, Radhi Mat Din di kerusi DUN Alor Mengkudu.
Di Terengganu, tiga warlord BN termasuk dua bekas Menteri Besar dan seorang mantan Timbalan Menteri adalah antara calon yang 'dikitar semula' untuk bertanding dalam PRN kali ini.
Mereka termasuklah bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang bertanding di DUN Seberang Takir dan Datuk Seri Ahmad Said di kerusi DUN Kijal.
Seorang lagi pemimpin BN Terengganu yang kalah PRU15 tetapi diangkat menjadi calon BN-PH untuk mempertahankan kerusi Telemong pada PRN nanti ialah Datuk Rozi Mamat.
Di Kelantan pula, PN terpaksa memanggil semula bekas ADUN Semerak, Datuk Kamarudin Md Nor untuk mempertahankan kerusi Air Lanas yang tinggalkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamed.