Sila log masuk terlebih dahulu.

Manifesto bukan penentu kemenangan
Artikel percuma

04 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin sengit apabila koalisi Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan seteru, Perikatan Nasional (PN) kini melancarkan manifesto atau tawaran aku janji masing-masing bagi menawan hati 9.7 juta pengundi di enam negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Namun, stigma dan fobia dengan ungkapan 'manifesto bukan kitab suci' mungkin menyebabkan majoriti pengundi lebih suka memilih berdasarkan parti politik atau personaliti calon, bukannya berlandaskan tawaran aku janji dikemukakan oleh koalisi PH-BN mahu pun PN.

Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, biarpun 'manifesto bukan kitab suci' namun koalisi PH-BN dan PN perlu memberikan penjelasan konkrit kepada rakyat mengenai program, polisi dan dasar bakal dilaksanakan jika mereka dipilih untuk menerajui kerajaan negeri selepas PRN kelak.

Chin Huat menjelaskan, sejauh mana manifesto berkenaan berjaya memenangi hati rakyat terutama pengundi atas pagar dan anak muda adalah bergantung kepada cara ia diperjelaskan menerusi ceramah dan program kempen dilaksanakan termasuk menerusi media sosial.

"Kalau manifesto ini berakhir sebagai dokumen saja, namun ceramah parti politik bertanding tetap bertemakan serangan kepada pihak musuh, tawaran atau aku janji berkenaan akan menjadi tidak lebih daripada tulisan hiasan.

"Justeru, tanpa debat yang mendalam antara pemimpin kedua-dua koalisi PH-BN dan PN mengenai manifesto yang bakal dilaksanakan jika mereka memerintah kelak, maka pengundi lebih cenderung mengundi mengikut logo parti dan personaliti calon," katanya kepada Sinar Premium.

Chin Huat berkata demikian ketika ditanya sama ada manifesto PH-BN atau PN mampu mendorong 9.7 juta pengundi termasuk 3.7 juta di Selangor; Kedah (1.5 juta), Kelantan (1.41 juta), Pulau Pinang (1.2 juta), Terengganu (0.93 juta) dan Negeri Sembilan (0.86 juta) akan mengundi mereka pada PRN kali ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

PH-BN Selangor pula mengumumkan 53 tawaran menerusi manifesto 'Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun' merangkumi ekonomi unggul dan pendidikan, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi; agama serta sistem perkhidmatan kerajaan yang cekap dalam usahanya memenangi hati pengundi di Selangor dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Antara aku janji yang mungkin ditawarkan PN kepada rakyat Selangor ialah untuk mengembalikan skim pemberian air percuma, selain meliputi pemberian bantuan langsung kepada golongan kurang berkemampuan termasuk miskin dan miskin tegar.

PN Kedah pula mengemukakan 17 tawaran termasuklah menyediakan 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuklah Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Selain itu, PN juga berhasrat membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran jumlah 15,000 rumah menjelang 2030.

Bukan keutamaan

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr Nur Azuki Yusuff berkata, majoriti daripada 1.4 juta Kelantan mungkin tidak mengambil kira atau tidak peduli langsung kandungan manifesto yang dibentangkan oleh PH-BN atau PN ketika mengundi pada 12 Ogos ini.

Ini kerana katanya, berdasarkan pemerhatian dan tinjauan mendapati majoriti pengundi Kelantan lebih suka mengundi berdasarkan lambang parti, bukannya manifesto ataupun siapa yang diketengahkan sebagai calon di sesuatu kerusi DUN.

Nur Azuki meramalkan tidak akan berlaku 'tsunami' atau sabotaj besar-besaran terhadap calon PN oleh penyokong parti biarpun ramai bekas wakil rakyatnya meluahkan rasa kecewa kerana nama mereka tidak dicalonkan semula oleh Pas, pada PRN kali ini.

"Ini kerana majoriti rakyat Kelantan melihat faktor utama menentukan kemenangan ialah kerana kekuatan parti Pas bukannya tawaran manifesto atau calon. Malah, rakyat Kelantan di peringkat akar umbi tidak peduli langsung sama ada kerajaan negeri sekarang sudah melaksanakan atau tidak janji pilihan raya yang dibuat pemimpin Pas sebelum ini.

"Hanya mereka yang berpendidikan tinggi atau lepasan universiti yang menjadikan manifesto sebagai salah satu pertimbangan sama ada mereka akan memilih PN atau koalisi PH-BN dalam PRN nanti," katanya.

Nur Azuki berkata, tawaran penjenamaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dibuat PN dijangka tidak mampu memberi impak besar kepada sokongan pengundi di Kelantan, pada PRN nanti.

"Saya melihat perkara itu (rombakan AKSB) bukan isu besar. Kalau baru sekarang pimpinan kerajaan negeri mahu bercakap mengenai isu rombakan AKSB bermakna ia bukan keutamaan mereka di peringkat awal.

"Isu rombakan AKSB menjadi satu perkara besar jika ia digabungkan dengan peruntukan tambahan berjumlah RM500 juta bakal disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini," katanya.

Justeru, Nur Azuki meramalkan PN dan Pas dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk mengekalkan status quo sebagai kerajaan negeri Kelantan pada PRN nanti biarpun jentera PH-BN kini bergabung tenaga.

Malah, berdasarkan pemerhatiannya, PN terutama Pas dijangka menang mudah di lebih 20 kerusi DUN disandangnya sekarang dan bakal bersaing hebat di 16 kawasan lain dengan BN dan PH.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan