MISI mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh menjadi cabaran buat penyandangnya, Zulkifli Ibrahim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Meskipun kali ini beliau tidak lagi bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti pilihan raya lalu, namun baginya rakyat di Sungai Acheh dapat menilai hasil kerja dan perkhidmatannya pada penggal lepas.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman bersama calon Perikatan Nasional (PN) yang merupakan anak jati Sungai Acheh bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini.
SINAR HARIAN: Bagaimana saudara melihat cabaran persaingan satu lawan satu dengan calon BN di kerusi Sungai Acheh?
ZULKIFLI: Saya sentiasa menganggap ini adalah satu cabaran sengit kerana ia melibatkan kedua-dua calon anak tempatan, anak jati Sungai Acheh.
Namun begitu, bagi saya pengundi di Sungai Acheh boleh menilai sendiri hasil kerja yang telah saya laksanakan selama lima tahun berkhidmat sebelum ini.
Dengan melihat apa yang telah dilaksanakan saya rasa itu penilaian yang paling baik dan memberi sedikit kelebihan kepada PN.
SINAR HARIAN: Apakah pelan pembangunan yang masih tertangguh untuk dilaksanakan di Sungai Acheh ketika saudara menjadi ADUN?
ZULKIFLI: Kalau ikutkan banyak, pertama sekali dari sektor pelancongan sebab idea ini sejak dari 2018 ketika saya memenangi kerusi ini.
Di Sungai Acheh ini banyak tarikan terutamanya tentang nilai alam sekitar yang boleh dibawa kepada menambahkan pendapatan penduduk yang melibatkan sama ada petani dan nelayan yang boleh mempelbagaikan pendapatan mereka.
Itu adalah perkara yang saya sudah buat tetapi masih belum habis contohnya di Kuala Chenaam kita tengok kawasan dalam paya bakau kita baharu buat separuh dan ada separuh lagi yang perlu dilaksanakan termasuk tambah baik jeti nelayan di kawasan berkenaan.
Selain itu, saya juga berhasrat membangunkan kawasan rekreasi di Taman Ilmu yang mana pembangunan di kawasan itu melibatkan kos yang agak tinggi dan ketika itu melibatkan perbincangan dengan Universiti Sains Malaysia sebagai tuan rumah untuk projek denai yang melibatkan industri pelancongan di kawasan terbabit.
SINAR HARIAN: Selain itu, apakah isu utama atau masalah yang membelenggu penduduk di Sungai Acheh?
ZULKIFLI: Isu paling utama ialah isu nelayan dan juga petani.
Masalah nelayan melibatkan isu pukat appolo yang masih berleluasa sehingga sekarang ini.
Menariknya perkara tersebut boleh diambil penekanan terutama di peringkat Persekutuan di mana di seluruh negara hanya di Tanjung Piandang dan Kuala Kurau sahaja yang mempunyai pukat apollo ini. Masalahnya dia ada kawasan tangkapan sendiri di zon C tetapi mereka bukan sahaja menangkap ikan di zon A tetapi menceroboh ke perairan Pulau Pinang dan sehingga kini tak dapat diselesaikan.
Bagi petani pula ia melibatkan masalah air yang saya rasa penambahbaikan yang dilaksanakan tersebut telah menjadi beban kepada petani.
SINAR HARIAN: Boleh kongsikan manifesto dan akujanji yang akan dilaksanakan untuk rakyat Sungai Acheh?
ZULKIFLI: Sudah pastinya saya akan menyambung perkara yang tertangguh di kawasan Sungai Acheh ini dan kedua berkaitan dengan isu perumahan rumah mampu milik dan kos rendah di mana sebelum ini saya telah beberapa kali bermesyuarat dengan agensi di bawah Majlis Pembangunan Bumiputera di bahagian hartanah sebab kita ada tanah Perda dan UDA di kawasan sebelah Datuk Keramat di sini untuk dibangunkan dengan rumah kos rendah.
SINAR HARIAN: Apakah perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya terpilih pada 12 Ogos nanti?
ZULKIFLI: Saya pasti akan bawa masalah nelayan. Saya masih akan perjuangkan isu yang dihadapi lebih 2,000 komuniti nelayan di sini dan ia menjadi keutamaan saya.
Isu ini melibatkan hasil pendapatan nelayan dan kebanyakannya mengharapkan sumber rezeki dari laut.