Sila log masuk terlebih dahulu.

PRN penting untuk siapa?
Artikel percuma

06 Ogos 2023 07:45am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

29 JULAI lalu mencatat sejarah apabila pada hari penamaan calon, seramai 572 calon bertanding di enam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan serentak buat kali pertama pada 12 Ogos.

Seramai 181 calon – satu lawan satu, 51 calon (3 penjuru), 13 calon (4 penjuru) dan 1 (5 penjuru). Calonnya pelbagai termasuk ada berumur 80 tahun di Pantai Jerejak, Pulau Pinang dan paling muda berumur 23 tahun di Bukit Antarabangsa, Selangor.

Pakatan Harapan (PH) menamakan 138 calon (26 wanita); Barisan Nasional (BN) 108 (12 wanita); Bebas (41) - 1 wanita; Parti Ikatan Demokratik Malaysia - Muda (19) - 10 wanita; Parti Rakyat Malaysia - PRM (13) - 2 wanita; Parti Sosialis Malaysia - PSM (4) -1 wanita; PFP (2) dan Parti Utama Rakyat - PUR (1).

Seramai 168 orang adalah calon Perikatan Nasional (PN) –19 wanita. 71 (12 peratus) daripada jumlah tersebut ialah calon wanita. Apakah kewajaran bilangan rendah sebagai calon wanita, sedangkan 51 peratus pengundi ialah wanita, seolah-olah golongan itu masih sukar membolosi atap yang menjadikan calon lelaki mendominasi dengan 88 peratus.

PRN juga menyaksikan kesemua menteri besar dan ketua menteri bertanding. Menarik untuk melihat ada bekas menteri besar turut bertanding di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang. Begitu juga dengan calon daripada latar sebagai anak atau isteri pemimpin, bekas pemain bola sepak dan penyanyi.

Cabang demokrasi meriah kerana tidak ada yang dilarang daripada latar belakang pekerjaan mereka, sementara yang digugurkan oleh parti juga bertanding sebagai calon Bebas. Tidak terkecuali ada anggota kabinet bertanding.

Kenapa keputusan PRN penting walaupun secara longgar ia tidak mengubah keputusan di peringkat Persekutuan kerana PRU diadakan pada November 2022.

Mandat 148 dimiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal walaupun ada desus-desus plot politik menyatakan keputusan itu juga adalah secara simbolik ke atas fragmentasi pola pengundian pengundi Melayu, pungutan suara ke atas Kerajaan Perpaduan dan sokongan ke atas UMNO mahupun pengundi Melayu ke atas gabungan PH-BN.

Bagi PN, ia dianggap cuba mengukur jika sokongan diperoleh pada PRU 2022 akan bersifat kekal atau sementara disebabkan arena politik kini menjadi lembaran dinamika mengarusperdanakan isu. Apatah lagi, pengundi muda dianggap kurang mempunyai afiliasi dengan ideologi politik kepartian.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Adakah 9.77 juta pengundi sudah cukup untuk andaian seperti ini dan bagaimana mandat negeri-negeri lain yang sudah menjalankan tanggungjawab mereka pada November 2022?

Malah, jika peratusannya rendah pada 12 Ogos, ia menunjukkan ramai sudah mual dan berada dalam kelesuan politik kerana mahukan kesemua wakil rakyat menunjukkan rasa prihatin ke atas kemahuan, keperluan serta kesejahteraan mereka.

Silat politik berubah mengikut peredaran masa. Barangkali PRN penting untuk menelusuri tatacara pilihan raya jika masih ‘beraya’ dengan politik kebencian atau kematangan terserlah pada hari-hari berbaki untuk menunjukkan politik berhemah.

PRN mengukur prestasi potensi wakil rakyat, bersifat lokal dan jaringan yang diikat bersama antara usaha melengkapi kedudukan Persekutuan, negeri serta konstituensi setempat.

Kecenderungan pengundi akan dihalusi sama ada memilih parti, calon atau isu. Hatta, ia turut membawa kepada ‘politik kelas’ disebabkan oleh proses urbanisasi dan migrasi.

Penggunaan satu dimensi tidak wajar sebagai ‘senjata politik’ kerana demografi dan geografi berbeza melibatkan kawasan bandar, separa bandar serta luar bandar dan pengundi pertama kali mengundi pada PRN, pengundi didaftar secara automatik, pengundi tegar pada parti, undi protes, pengundi atas pagar, pengundi luar serta yang tidak mahu keluar mengundi disebabkan fasa aliran alam politik sejak November 2022.

Sama ada pengundi memilih ‘kalih bagi sama’ atau ‘kalih bagi tukar’ adalah hak mutlak pengundi. Merdekakan pemikiran dengan rasional dan politik waras demi untuk tanah air yang akan meraikan hari kemerdekaan ke-66, 19 hari selepas keputusan diketahui.

* Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan