PADA minggu lepas, Kementerian Ekonomi telah mengeluarkan laporan tentang pendapatan isi rumah (Laporan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas -HISBA) rakyat Malaysia.
Apabila kita mengkaji data-data yang dikeluarkan, tepatlah kata pepatah – yang miskin masih miskin, yang kaya bertambah kaya. Ini tidak memeranjatkan, kerana apabila pandemik melanda, bantuan yang diberikan amat kecil sekali, malah secara relatif adalah lebih rendah dari negara yang lebih miskin dari Malaysia.
Sebab itu berulang kali kita ingatkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu amatlah kedekut dan tidak bertanggungjawab kerana bantuan yang amat kecil diberikan kepada golongan miskin dan rentan.
Kesannya jelas dan mengecewakan, laporan HISBA terkini menunjukkan jumlah yang miskin makin bertambah berbanding tahun 2019, dan jurang antara kaya dan miskin makin melebar.
Walaupun kita dicanangkan bahawa ekonomi telah pulih dan berkembang sejak pandemik bermula, pertumbuhan ini lebih memanfaatkan si kaya, bukannya sang miskin, mahupun golongan pertengahan.
Pertama, kadar kemiskinan masih tinggi, dan makin ramai yang jatuh miskin ketika ini, berbanding sebelum pandemik. Kadar kemiskinan tahun lepas adalah pada tahap 6.2 peratus - lebih tinggi daripada paras pra-pandemik tahun 2019 iaitu pada kadar 5.6 peratus.
Ini hanya bukan angka, tetapi bermaksud bahawa bilangan isi rumah di bawah paras kemiskinan telah meningkat sebanyak 20 peratus kepada 490,000 isi rumah pada tahun 2022. Nah, pulihkah ekonomi Makcik Kiah dan yang seangkatan dengan beliau? Jelas tidak.
Bukan itu sahaja, kadar kemiskinan turut meningkat di hampir semua negeri, kecuali di Putrajaya dan Labuan. Sabah, Kelantan dan Sarawak kekal sebagai tiga negeri yang mempunyai insiden kemiskinan tertinggi. Ini tidak berubah sejak 2019. Negeri yang kaya dengan sumber asli juga tidak terkesan - peningkatan kemiskinan yang tertinggi adalah di negeri Pahang.
Kedua, walaupun ada yang mendabik dada dan berbangga apabila ekonomi negara merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, mereka ini sebenarnya buta hati dan pekak telinga akan realiti sebenar.
Pertumbuhan ini sebenarnya dipacu daripada rakyat sendiri, di mana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP sebab kerajaan kedekut tidak mahu membantu.
Yang paling terkesan daripada dasar tidak bertanggungjawab ini adalah kaum Bumiputera, di mana simpanan mereka jatuh 70 peratus, berbanding hanya satu peratus untuk kaum Cina.
JURANG MAKIN MELEBAR
Pertumbuhan ekonomi yang baik haruslah inklusif, dan manfaatkan semua, terutamanya mereka yang di bawah. Ini tidak, jurang pendapatan ketika ini adalah lebih teruk berbanding tahun 2014.
Apabila kita diberitahu dengan megahnya ada kemasukan pelaburan berbilion-bilion ringgit, projek sana sini yang dibawa dari negara China atau daripada Pak Arab, siapakah yang beroleh laba?
Tentu, yang makin untung adalah si kaya, bukannya anak muda yang menjadi juru Grab, ataupun graduan yang masih terkial-kial mencari kerja. Apa ertinya bersorak gembira dengan singkatan yang hebat seperti KDNK, FDI dan jargon yang canggih jika yang kaya makin kaya dan si miskin makin terperuk? Inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita ketika ini – jurang makin melebar.
Jika kita lihat dari sudut yang lain, agihan kekayaan negara lebih kepada si kaya. Setiap RM1 yang dijana daripada perkembangan ekonomi, peratusan yang diperoleh oleh golongan B40 hanya 16 sen pada tahun 2022, lebih teruk berbanding tahun 2014 (16.8 sen) dan tahun 2016 (16.4 sen). Dah lah ciput, makin mengecil pulak tu. Adilkah ini?
Ketiga, jurang antara kaum juga makin buruk. Pada tahun 2022, jurang pendapatan antara Cina dan Bumiputera adalah sebanyak RM2,400 sebulan berbanding sekitar RM2,000 sebulan pada tahun 2019.
Dalam erti kata lain, jurang naik sebanyak 20 peratus! Nisbah jurang pendapatan di antara kaum Cina dan Bumiputera juga bertambah buruk dalam tempoh sama. Keadaan jurang pendapatan ini adalah sama dengan keadaan 10 tahun yang lalu pada tahun 2012.
Ini bermaksud segala inisiatif, perbelanjaan berbilion bilion ringgit, dan pelan ekonomi dan hala tuju dan sebagainya untuk kaum Bumiputera dalam tempoh satu dekad yang lalu tidak berjaya untuk merapatkan jurang dengan kaum Cina.
Ke mana duit berbilion bilion ringgit yang dibelanjakan atas nama Melayu atau bumiputera tetapi hakikatnya data kerajaan menujukan kaum Melayu makin ke belakang berbanding kaum lain.
Keempat, subsidi dan bantuan kerajaan bukan hanya tidak efektif untuk membantu rakyat yang susah menangani krisis pandemik, sebaliknya kerana kerajaan kedekut, dasar kerajaan sebenarnya melebarkan jurang.
Selepas mengambil kira pindahan bantuan kerajaan, subsidi, bayaran zakat dan cukai, jurang pendapatan adalah lebih teruk, bukannya lebih mengucup.
Dasar dan polisi kerajaan sebenarnya melebarkan jurang, membuat si kaya bertambah kaya, dan bukan sebaliknya. Ini tidak pelik, dasar cukai kita lebih mesra si kaya. Contoh mudah adalah cukai kereta.
Kenapa apabila Makcik Kiah membeli kereta Myvi berjumlah RM40,000, beliau harus membayar cukai jualan dan cukai jalan, tetapi si kaya yang membeli PorscheEV atau Mercedes EV berjumlah RM400,000 tidak dikenakan cukai langsung? Tidak hairanlah jurang makin melebar.
Pertumbuhan pendapatan isi rumah yang perlahan, dan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan yang tinggi menyukarkan kerajaan untuk mencapai beberapa sasaran yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Justeru, sasaran yang terdapat di dalam RMK12 harus disemak semula di dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.
Dasar jangka panjang harus lebih radikal, dan tidak hanya sekadar pengumuman yang dibuat secara tergesa-gesa. Ekonomi Madani yang diumumkan baru-baru ini tidak ubah seperti Model Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan pada dekad yang lalu oleh Najib Razak yang kini merengkok di dalam penjara kerana mencuri. Sasaran yang dirangka tidak disertakan dengan strategi yang terperinci, dan tidak mesra si miskin dan terpinggir.
Ekonomi Madani haruslah berpaksikan polisi yang mesra Mak Cik Kiah, bukan hanya Tan Sri atau Datuk Seri atau golongan elit. Tiada guna Malaysia menjadi negara ekonomi 30 terbesar dunia jika Makcik Kiah kekal miskin dan terpinggir dan graduan kita merempit.
Jika ini tidak dibaiki, Ekonomi Madani akan mengulangi kegagalan Model Ekonomi Baru, di mana ia hanya sekadar sebuah laporan lapuk yang tidak memberi impak kepada rakyat.
* Muhammed Abdul Khalid dan Zouhair Rosli ialah pakar ekonomi