Sila log masuk terlebih dahulu.

Ajaib kalau 'pollster' boleh cerap 100 peratus pilihan parti responden
Artikel percuma

07 Ogos 2023 02:30pm | Masa membaca: 4 minit
Menurut EGMC, 52 peratus daripada responden Melayu dalam kajian mereka mengundi PH pada PRU15 di Selangor, 30 peratus mengundi Perikatan Nasional (PN) dan 11 peratus (Barisan Nasional (BN)). (Gambar kiri: Marzuki)
Menurut EGMC, 52 peratus daripada responden Melayu dalam kajian mereka mengundi PH pada PRU15 di Selangor, 30 peratus mengundi Perikatan Nasional (PN) dan 11 peratus (Barisan Nasional (BN)). (Gambar kiri: Marzuki)
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana badan kajian atau pelaksana survei politik (pollster) boleh dianggap melakukan satu keajaiban sekiranya mereka mampu menyerap 100 peratus pilihan parti responden dalam sampel kajian dilaksanakan.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri ke-8, Profesor Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, sekiranya benar hasil dapatan badan penyelidik Endeavour-MGC (EGMC) menerusi siri tinjauan pilihan raya negeri (PRN) terutama di Selangor berupaya menyerap jawapan responden sebanyak 100 peratus, ia satu perkara 'luar biasa' yang tidak pernah dilakukan mana-mana 'pollster'.

Jelasnya, sepanjang pengalaman terlibat dalam pelaksanaan kajian pendapat sejak tahun 2008, beliau akan mengenal pasti terdapat lebih kurang 30 hingga 40 peratus responden yang akan menjawab 'tidak tahu', 'tidak pasti', 'undi itu rahsia' atau menolak untuk menjawab.

"Kadangkala sehingga hari terakhir kempen pun, masih ada responden yang tidak mendedahkan parti mana yang mereka akan undi. Ia bukan bermakna mereka gagal membuat pilihan. Sebahagian besarnya telah membuat pilihan tetapi tidak mahu mendedahkannya.

"Selain itu, kaedah persampelan digunakan EGMC juga menunjukkan kelemahan apabila ia mendedahkan 52 peratus daripada responden Melayu mengundi PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor, sedangkan analisis data sebenar menunjukkan hanya 24 peratus pengundi Melayu di negeri itu mengundi PH," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau mengulas laporan badan penyelidik EGMC yang mendedahkan dapatan sekitar 73 peratus responden pelbagai bangsa bagi Tinjauan Pengundi Kerusi Marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut badan penyelidik itu, sejumlah 52 peratus daripada responden Melayu dalam kajian mereka mengundi PH pada PRU15 di Selangor, 30 peratus mengundi Perikatan Nasional (PN) dan 11 peratus (Barisan Nasional (BN)).

Marzuki yang juga Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganggap laporan kaji selidik EGMC itu bersifat 'skewed' atau terpesong susulan memaparkan data persampelan yang bermasalah dan tersasar.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dakwanya, asas peraturan dalam mana-mana kaji selidik adalah 'data persampelan mesti diambil dari segmen yang tepat dalam memastikan hasil dapatan yang tepat'.

"Saya boleh menerima kesahan kaji selidik ini jika ia menyatakan sekitar 20 peratus responden Melayu mengundi PH dalam PRU 15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

"Jika benarlah 52 peratus pengundi Melayu menyokong PH dalam PRU15 di Selangor, sudah tentulah PH sapu bersih semua kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas KSUS Muhyiddin dakwa kajian EMGC terpesong

85 peratus pengundi Selangor akan keluar mengundi

PRN: 61 peratus responden memilih parti

52 peratus mahu Anwar terus jadi PM

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan