SHAH ALAM - Baki 48 jam terakhir sebelum pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini merupakan waktu kritikal untuk semua parti meraih sokongan pengundi di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Tempoh kurang dua hari ini bakal menyaksikan setiap parti politik khususnya Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) melakukan pecutan akhir menerusi kempen secara bersasar menjelang 12 tengah malam esok.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua parti dalam PH-BN sedang berusaha untuk memujuk pengundi agar menyokong gabungan Kerajaan Perpaduan dalam PRN ini.
“Setakat hari ini, 70 peratus pengundi di Pulau Pinang menyokong PH-BN. Kita harap berbaki dua hari lagi (berkempen), momentum akan memuncak.
“Kita (PH) masuk berkempen ke kawasan ditandingi BN untuk memujuk pengundi yang beri sokongan kepada kita sebelum ini untuk mengalih undi mereka.
“Begitu juga sebaliknya, jika PH tanding undilah PH. Kalau PH tidak bertanding di kawasan tersebut, undilah BN. Itulah antara yang kita sampaikan ketika siri kempen ini,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pula berkata, pihaknya sedang mempertingkat jumlah jentera dan mengarahkan ahli untuk memberikan komitmen 200 peratus dalam mencari pengundi.
“Dalam tempoh 48 jam terakhir ini, kita akan berikan yang terbaik. Kita juga sudah menetapkan untuk beri fokus kepada kumpulan dan kawasan tertentu, namun siapa dan di mana tidak boleh didedahkan kerana ia strategi parti,” ujarnya.
Muhamad Akmal memberitahu, berdasarkan kempen PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan, sokongan rakyat terhadap BN semakin menunjukkan perubahan positif.
Dalam pada itu, menurut Ketua Angkatan Muda Harapan, Dr Mohammed Taufiq Johari, PH mengambil pendekatan kempen secara pecahan kepada tiga kumpulan.
“Kumpulan pertama melibatkan pemimpin atasan. Mereka akan bersama-sama turun berkempen ke negeri terutama Kedah.
“Mereka akan bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelajah di bahagian utara dan penutup kempen juga akan diadakan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Ahli Parlimen Sungai Petani itu, kumpulan kedua pula melibatkan ahli-ahli negeri yang tidak bertanding untuk membantu calon berkempen di kawasan ‘DUN angkat’.
Mohammed Taufiq berkata, kumpulan ketiga melibatkan calon bertanding untuk mendekati pengundi lokal dengan cara memberi penerangan dan mengedarkan risalah secara sendiri.
Sementara itu, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberitahu, PN akan menggunakan segenap ruang dan masa yang ada untuk berkempen.
Mas Ermieyati berkata, dalam tempoh 48 jam terakhir ini jentera parti akan mengukuhkan cara berkempen sama ada secara fizikal mahupun atas talian.
“Bukan itu sahaja, pucuk pimpinan tertinggi parti juga akan turun berkempen. Mereka akan turun padang lebih daripada tiga lokasi sehari untuk memberi semangat kepada calon, jentera dan para pengundi,” katanya.