Sila log masuk terlebih dahulu.

Strategi bertahan di kubu sendiri
Artikel percuma

Rata-rata pengundi sudah ada pilihan, penganalisis saran kurangkan taktik menyerang

10 Ogos 2023 08:15am | Masa membaca: 4 minit
Parti-parti yang bertanding pada PRN Sabtu ini dilihat lebih cenderung menggunakan strategi bertahan di kubu sendiri. Gambar kecil dari kiri: Hisommudin, Abdul Muqit, Mohammad Tawfik
Parti-parti yang bertanding pada PRN Sabtu ini dilihat lebih cenderung menggunakan strategi bertahan di kubu sendiri. Gambar kecil dari kiri: Hisommudin, Abdul Muqit, Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM - Parti-parti yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini dilihat lebih cenderung menggunakan strategi bertahan di kubu sendiri berbanding menyerang kubu lawan untuk tempoh berbaki 48 jam berkempen.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar bagaimanapun berkata, pendekatan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan juga Perikatan Nasional (PN) pastinya berbeza mengikut negeri.

Menurutnya, di Selangor menyaksikan PN agresif menggempur kubu PH seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dan Dusun Tua.

“Di Kedah pula, kelihatan di media sosial menjurus kepada serangan PH-BN terhadap pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor lebih kuat. Namun rata-rata kami dapati, strategi bertahan di kubu sendiri adalah lebih banyak daripada menyerang kubu lawan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hisommudin berkata, menjelang saat akhir menuju hari pembuangan undi, peluang kempen parti-parti politik untuk menarik sokongan semakin tipis kerana majoriti pengundi sudah pun menetapkan pilihan parti mana yang akan dipangkah pada 12 Ogos nanti.

“Namun bagi parti politik, mereka tetap berusaha menyusun strategi untuk mengubah keadaan itu dengan sesuatu yang luar biasa.

“Bagi pihak PH-BN, kekuatan pengaruh PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk tampil di pentas Jelajah Madani Perpaduan di samping mungkin ada tawaran menarik kepada pengundi pada saat akhir,” kata Hisomuddin.

Jelas beliau, bagi PN pula kekuatan memobilisasi penyokong menerusi rapat umum berskala besar akan digunakan bagi mempamerkan kekuatan sokongan Melayu kepada mereka.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Penganalisis berpendapat tumpuan besar PH-BN terhadap tiga kubu kuat PN iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu hanya menyumbang kepada pembaziran tenaga politik. - Foto Bernama
Penganalisis berpendapat tumpuan besar PH-BN terhadap tiga kubu kuat PN iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu hanya menyumbang kepada pembaziran tenaga politik. - Foto Bernama

“Tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang akan digandingkan bagi mengukuhkan kekuatan menjelang hari pengundian.

“Akhirnya, pada saat akhir terutama pada hari pengundian, kekuatan jentera di peringkat akar umbi akan teruji. Pihak mana yang mampu memujuk dan membawa keluar pengundi akan mendapat kelebihan,” jelasnya.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berpendapat tumpuan besar PH-BN terhadap tiga kubu kuat PN iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu hanya menyumbang kepada pembaziran tenaga politik.

Beliau berkata, meskipun Anwar dan pemimpin utama PH-BN dijadualkan turun di Kedah pada kempen 'grand finale' sebagai pecutan terakhir kempen, ia sukar untuk mengalih sokongan sedia ada terhadap PN.

Justeru menurutnya, PH-BN perlu mengalihkan tumpuan ke tiga lagi negeri untuk tempoh berbaki 48 jam berkempen ini.

"Bagi saya, Kelantan, Kedah dan Terengganu merupakan kubu kuat Pas-PN hari ini. Faktor 3P iaitu 'Pondok, Pedalaman dan Pertanian' sangat memainkan peranan sehingga menyebabkan ketiga-tiga negeri tersebut boleh menjadi kubu kuat khususnya kepada Pas.

“Jadi bagi saya, tenaga politik yang ada pada PH-BN perlu dialihkan ke Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Akan berlaku pembaziran tenaga politik, jentera dan masa jika terus fokus ke negeri kubu kuat Pas-PN. Saya cadangkan lebih baik PH-BN menumpukan persaingan di tiga negeri lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Abdul Muqit Muhammad juga senada menjangkakan impak sokongan pengundi tegar PN tidak akan berganjak dalam usaha PH-BN menawan Kedah.

“PN sangat dominan di negeri dominasi Melayu. Strategi PH-BN 'kalih bagi sama' pada saya masih tidak tersusun. Sasaran DUN yang ingin ditawan juga tidak jelas,” ujarnya.

Bagaimanapun tambahnya, jika PH-BN dapat menjamin sokongan pengundi mereka, ia merupakan perkembangan yang menarik.

“Sebab kerjasama BN dengan DAP masih belum teruji di medan sebenar,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan