Sila log masuk terlebih dahulu.

Undilah calon berkualiti
Artikel percuma

12 Ogos 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

HARI ini seramai 9,773,571 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN).

Ada antara mereka akan mengundi buat pertama kali dan kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sembilan bulan yang lalu.

Lazimnya, faktor calon memainkan peranan penting mempengaruhi kemenangan atau kekalahan sesebuah parti. Kehadiran calon berkualiti sebagai wakil parti bertanding sangat relevan dan memiliki dampak signifikan pada pilihan raya serta pemerintahan secara keseluruhan.

Justeru, parti politik sering teliti melakukan pemilihan calon. Bukan sahaja pertimbangan menang kalah menjadi ukuran, malah kebolehannya untuk menjadi ‘wakil rakyat’ yang berkesan.

Kemampuannya melontarkan idea, pandangan dan perancangan yang diperjuangkan bukan sahaja akan menaikkan kredibiliti di mata pengundi, malah parti diwakili. Cuma, untuk meletakkan calon benar-benar berkualiti bukanlah mudah.

Setiap kali parti-parti politik berdepan dilema untuk menentukan calon yang bukan sahaja sesuai tetapi dipersetujui semua pihak sebagai calon boleh menang. Namun, apa pun keputusan parti, calon sangat penting bagi pengundi yang memilih.

Tiada pengundi berakal rasional mahu memilih wakil rakyat yang kerjanya goyang kaki dan ponteng sidang. Hanya pengundi kurang bijak masih mahu mengundi calon yang tergamak memberikan alasan dangkal setiap kali ada isu timbul.

Cabarannya, bagaimana kriteria dan apakah parameter digunakan parti-parti politik ketika meletakkan calon agar benar-benar merefleksi tuntutan umum. Bukannya sekadar ada tanpa memikirkan kualiti calon yang bakal diangkat sebagai wakil rakyat berada pada kualiti dijangka (up to the par).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Isunya jelas, kadangkala kepentingan parti lebih prioriti berbanding calon berkualiti kerana akhirnya kemenangan parti meraih kerusi lebih utama sehingga kualiti calon sering dikompromi.

Akhirnya apabila parti menang, calon yang mewakili mereka itu tidak membawa apa-apa perubahan, malah kadangkala menjengkelkan pengundi. Inilah kekecewaan terbanyak dirasakan pengundi selepas PRU15.

Di sebalik gelombang perubahan, kualiti calon sebaliknya menunjukkan arah berlawanan. Dua perkara amat mengecewakan ialah kualiti wakil rakyat yang mengangkat perbahasan bermutu dan hilangnya peranan semak serta imbang berkesan terutama dalam kalangan pembangkang.

Inilah perkara yang harus direnung pengundi pada PRN. Ketika calon parti sudah dimuktamadkan, pilihan pengundi jelas untuk tidak mengulangi apa yang berlaku semasa PRU15 pada PRN kali ini.

Ini kerana untuk menghantar calon-calon berkualiti hanya ada di tangan pengundi dan bukannya hak parti. Justeru, mustahak bagi pengundi meletakkan rasionaliti mengatasi emosi ketika memilih.

Benar, sentimen Melayu-Islam kuat ketika PRU15 dalam kalangan pengundi terutama orang Melayu. Namun selepas itu, apakah ada perubahan ketara dalam sosioekonomi dan politik negara serta orang Melayu selepas sembilan bulan ia berlalu? Yang kelihatan hanya polarisasi politik menakutkan dengan menunggang kaum dan agama. Fitnah berleluasa. Menghina dan mencaci orang menjadi biasa, malah institusi diraja diperlekeh dan disenda.

Apa kebaikan yang orang Melayu dan institusi Islam dapat daripada itu semua? Sehingga hari ini masih tertanya-tanya, apa sebenarnya ancaman kepada Melayu-Islam? Masih tiada penjelasan sempurna.

Mungkin berat sangat difahami bahawa sukar bagi mana-mana parti memperoleh majoriti untuk memerintah tanpa adanya kerjasama dengan parti lain. Mungkin sengaja juga ada pihak tidak mahu menerima hakikat Malaysia sebagai sebuah negara rencam, yang keharmoniannya rapuh jika tidak dijaga dengan betul.

Mungkin juga Debat Ekonomi antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman pada Rabu lalu, cukup untuk memberikan perspektif jelas kepada pengundi tentang perlunya meletakkan calon berkualiti di tempat selayaknya.

Namun, ia hanya boleh dilakukan dengan membuat pilihan tepat dan ia bermula dengan mengundi calon berkualiti serta bermutu tinggi. Selamat mengundi kepada semua di enam negeri. Anda harapan kami untuk julang Malaysia yang murni dan madani.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan