SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu, menyaksikan nasib berbeza dialami oleh lima mantan menteri besar dan seorang bekas ketua menteri di mana tiga daripadanya kalah manakala tiga lagi menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka.
Tiga bekas menteri besar yang mengalami nasib malang dalam PRN kali ini didahului dengan dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang gagal mempertahankan masing-masing kerusi DUN Kijal dan DUN Seberang Takir yang disandang mereka sebelum ini.
Ahmad Said gagal mempertahankan kerusi DUN Ajil yang disandangnya selama sembilan penggal selepas tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.
Razali yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, menang selepas memperoleh 13,403 undi, manakala Ahmad hanya mendapat 9,645 undi.
Pada PRU14 lalu, Ahmad memperoleh 9,545 undi mengalahkan calon Pas, Hazri Jusoh (8,280) dan calon PH, Wan Marzuki Wan Sembok (1,472 undi).
Ahmad Razif pula gagal mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir yang disandangnya sejak 2008 selepas tewas kepada wakil Pas, Khazan Che Mat dengan majoriti 2,797 undi.
Ahmad Razif memperoleh 9,359 undi berbanding Khazan yang mendapat 12,156 undi.
Pada PRU14 lalu, Ahmad Razif yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Razif menang dengan 9,340 undi ketika menentang Mohd Fazil Wahab daripada Pas yang mendapat 7,456 undi.
Di Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas kepada penyandang kerusi DUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin yang mewakili Perikatan Nasional dengan majoriti 6,373 undi.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Kedah itu kalah selepas hanya memperoleh 8,024 undian berbanding Mohd Radzi yang mendapat 14,397 undi, sekali gus membolehkan wakil Pas terbabit mempertahankan kerusi dimenangi, pada PRU14 lalu.
Kekalahan itu menunjukkan rakyat Kedah terutama pengundi di DUN Pedu menolak kepimpinan Mahdzir biarpun beliau menang jawatan Naib Presiden UMNO dan dilantik sebagai Pengerusi Badan BN negeri selepas pemilihan parti baru-baru ini.
Untuk rekod, sebelum ini Mahdzir turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap yang disandangnya sejak 2013 selepas tewas kepada wakil PN, Nurul Amin Hamid, pada PRU15 lalu.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berjaya menebus maruah dan kekalahannya dalam PRU15 selepas menewaskan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli yang wakil Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Hulu Kelang dengan majoriti 1,617 undi.
Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu memperoleh 25,597 undi menewaskan Juwairiya yang juga bekas ADUN Bukit Melawati yang mendapat 23,980 undian.
Pada PRU15 lalu, Mohamed Azmin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandang sejak 2004 apabila kecundang di tangan anak didiknya dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kubu kuatnya selepas menang besar dengan majoriti lebih 10,000 undi ke atas wakil PN, Rozmal Malakan di kerusi DUN Rantau.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan memperoleh 16,957 undi manakala Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau pula mendapat 6,677 undi.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Air Putih disandangnya sebelum ini dalam pertembungan tiga penjuru selepas menewaskan dua lawannya iaitu calon PN, Ivan Kong dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Teh Yee Cheu dengan majoriti sebanyak 7,923 undi.
Guan Eng meraih 8,996 undi manakala Ivan sekadar meraih 1,073 undi dan Yee Cheu dengan 437 undi.