Sila log masuk terlebih dahulu.

3.38 juta pilih PN, 3.39 juta undi PH-BN
Artikel percuma

14 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MESKIPUN Perikatan Nasional (PN) menyapu 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu, namun undi popular gabungan parti itu berada hampir sama dengan blok Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Analisis Sinar Harian ke atas keputusan PRN yang berlangsung Sabtu lalu mendapati PN memperoleh sebanyak 49.3 peratus atau 3,382,455 undi popular, manakala gabungan PH-BN meraih 49.5 peratus atau 3,399,472 undi popular.

Melalui keputusan PRN itu, PN berjaya meraih sebanyak 146 kawasan DUN daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, selain PH (80 kerusi) dan BN (19 kerusi).

PH-BN yang buat pertama kalinya bekerjasama memasuki gelanggang pilihan raya berjaya mengekalkan kuasa di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Malah, gabungan yang baru lapan bulan dibentuk itu menang di Negeri Sembilan apabila memperoleh 31 daripada keseluruhan 36 kerusi.

Pulau Pinang juga menyaksikan kemenangan PH-BN dengan memperoleh 29 daripada 40 kerusi yang ditandingi, manakala di Selangor, PH-BN menguasai kerajaan negeri dengan kemenangan di 34 daripada 56 kerusi.

Dalam pada itu, PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan juga kekal sebagai kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Malah, Terengganu buat pertama kalinya menyaksikan kesemua 32 kerusi dimenangi PN yang bertanding menggunakan logo Pas, sekali gus tiada pembangkang di DUN berkenaan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

PN juga menang besar di Kelantan apabila memperoleh 43 daripada 45 kerusi dan di Kedah, gabungan itu memenangi 33 daripada 36 kerusi.

Dari segi peratus kemenangan mengikut parti, DAP terus mendapat sokongan tinggi rakyat apabila 46 daripada 47 calon parti itu memenangi kerusi DUN yang ditandingi.

DAP hanya kalah di DUN Derga, Kedah apabila calonnya, Tan Kok Yew tewas kepada calon PN, Muhammad Amri Wahab.

Sementara itu, Pas menang 105 kerusi, kalah 22 kerusi; Bersatu menang 40, kalah 41; PKR menang 26, kalah 33; Amanah menang lapan, kalah 23; UMNO menang 19, kalah 89; Gerakan menang satu daripada 36 kerusi ditandingi manakala Muda kalah kesemua 19 kerusi.

PKR pula membuktikan parti berkenaan terus menjadi pilihan pengundi di kawasan campuran dan urban apabila memenangi kerusi seperti Bukit Antarabangsa dan Kajang, Selangor dengan majoriti selesa.

Sejumlah 9.67 juta pemilih layak mengundi pada PRN ini dengan Kelantan merekodkan 60.96 peratus keluar mengundi; Terengganu (74.79 peratus); Kedah (73.86 peratus); Pulau Pinang (72.67 peratus); Selangor (72 peratus); dan Negeri Sembilan (68.35 peratus).

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan tsunami orang Melayu tidak dapat dibendung lagi apabila gelombang PN terus mempamerkan prestasi cemerlang pada PRN ini.

Menurut beliau, walaupun PN yang diterajui Pas dan Bersatu gagal menawan Selangor, gelombang itu berjaya menafikan kemenangan dua pertiga PH-BN di negeri itu, selain memperoleh 11 kerusi di Pulau Pinang.

“Banyak kerusi Melayu tumbang dan dimenangi PN. Ini memperlihatkan ia bukan lagi tsunami hijau atau alternatif.

“Bagi saya, apa yang berlaku adalah mesej untuk UMNO menilai segera perubahan yang perlu dilakukan parti itu. Dengan berbaki 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi, saya lihat itu petanda yang tidak baik atau negatif untuk masa depan UMNO yang berpaut pada PH.

“Di Terengganu, figura seperti Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman juga tidak mampu mengekang gelombang PN, manakala PH hanya mampu menang dua kerusi di Kelantan dan tiga kerusi bukan Melayu di Kedah.

“Ini menunjukkan kekuatan UMNO secara tradisinya, telah dapat diatasi oleh seteru mereka iaitu Pas dan Bersatu,” katanya pada Ahad.

Beliau menambah, DAP sebaliknya mempunyai kekuatan tersendiri kerana walaupun ramai ahlinya belum dapat menerima kerjasama dengan UMNO, tetapi mereka tetap keluar mengundi untuk memenangkan calon parti mereka.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan