Sila log masuk terlebih dahulu.

UMNO perlu berani berubah
Artikel percuma

14 Ogos 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MEMENANGI hanya 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu, olah-olah menggambarkan satu referendum rakyat terutama orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN).

Bahkan wujud undi protes daripada penyokong UMNO disebabkan mereka tidak boleh menerima hakikat parti itu bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang pernah menjadi musuh ketat mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa parti itu akan terus kalah dan pupus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika parti itu tidak berbuat sesuatu susulan kekalahan teruk pada PRN.

“Kita perlu selesaikan isu DAP ini. Sama ada terus bekerjasama dengan mereka dalam kerajaan dan pilihan raya atau hanya dalam kerajaan.

“Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh bina semula parti (BN) dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar.“Kita juga dapat kekalkan akar umbi dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat,” katanya pada Ahad.

Ada juga yang melihat kegagalan BN calon BN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sebagai signal bahawa pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sebagai presiden parti sudah kritikal dan perlu berundur dengan segera.

Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh pula menegaskan, keputusan PRN itu menjurus The Dead of UMNO kerana kekuatan dan penerimaan rakyat terutama orang Melayu dan ahli parti terhadap UMNO semakin merosot pasca PRU15.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Majoriti orang Melayu, pengundi atas pagar dan ahli UMNO beralih arah dengan menyokong PN pada PRN kali ini. Ia sebagai undi protes terhadap kepimpinan Ahmad Zahid.

“Saya juga dengar, ramai pemimpin UMNO mengakui jika BN tewas PRN ini, maka individu sepatutnya mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatannya ialah Presiden UMNO sendiri,” katanya.

Kata Wan Hashim, tindakan itu perlu kerana Ahmad Zahid menjadi liabiliti Kerajaan Perpaduan dan BN-UMNO berikutan kes mahkamah melibatkan Yayasan Akalbudi.

Wan Hashim berkata, Ahmad Zahid sepatutnya mencontohi tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melepaskan jawatan secara sukarela sebagai Presiden UMNO selepas BN kalah teruk pada PRU14 sehingga PH mengambil alih Putrajaya.

“Keputusan PRN ini petunjuk jelas kepada Ahmad Zahid supaya berundur secara terhormat atau bercuti sementara waktu jika benar-benar sayangkan UMNO.

“Ia penting kerana keputusan PRN ini adalah 'satu pukulan maut'. Jika berterusan, UMNO mungkin tidak relevan lagi pada PRU16,” katanya.

Akui ada gelombang hijau

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, pencapaian BN kali ini menggambarkan manifestasi PRU15 dan kewujudan fenomena gelombang hijau.

Katanya, sejak bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, situasi yang dialami UMNO turut dihadapi sekutunya iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita tidak boleh mengatakan UMNO sahaja kalah tetapi semua parti bergabung di bawah PH dan BN. Kesan gelombang hijau masih berterusan termasuk sebahagian ahli UMNO sendiri menyokong PN pada PRN kali ini.

“Justeru, BN dan UMNO perlu turun ke akar umbi serta memberi penerangan supaya mereka kembali merapatkan barisan bagi menghadapi PRU16.

“UMNO masih ada tempoh empat tahun untuk membuat pembetulan sekiranya mereka mahu menjadi sebuah parti relevan dan kembali mendapat tempat di hati pengundi pada PRU16,” katanya.

Pandangan sama dikongsi Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa yang menyifatkan tindakan itu sebagai penting, tambahan pula Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu, memutuskan ‘No DAP dan No Anwar’.

“BN-UMNO perlu terima dengan berlapang dada dan kaji kelemahan mereka.Kita tidak boleh buat keputusan syok sendiri tetapi mesti bersandarkan kehendak akar umbi dan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Othman berkata, antara punca utama kekalahan PH-BN adalah sinergi kerjasama antara UMNO dan DAP masih baharu selain ahli kedua-dua parti masih keliru dan kurang jelas hala tuju Kerajaan Perpaduan.

“Kita tidak patut menyalahkan Ahmad Zahid dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) semata-mata, atas kekalahan teruk BN pada PRN ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam kenyataannya berkata, keputusan PRN pada Sabtu jelas membuktikan UMNO perlu berani untuk berubah dengan mengutamakan suara rakyat, bukannya suara pemimpin.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan