Sila log masuk terlebih dahulu.

Tidak perlu ADUN lantikan
Artikel percuma

15 Ogos 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
Gambar kecil dari kiri: Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Mohammad Tawfik
Gambar kecil dari kiri: Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Terengganu dilihat tidak sesuai untuk dilaksanakan sebaliknya negeri tersebut disyorkan mewujudkan jawatankuasa pemantau bagi proses semak dan imbang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia berikutan lantikan itu memerlukan kos tinggi sekaligus memberi beban kewangan kepada kerajaan negeri.

“Misalnya kita lihat untuk menggaji seorang ADUN atau ahli Parlimen khususnya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sendiri sekurang-kurangnya RM15,000 gaji termasuk elaun.

“Seharusnya ejen semak dan imbang itu tidak semestinya menerusi ADUN lantikan tetapi bagaimana untuk kita menjadikan ADUN negeri itu lebih progresif.

“Misalnya siaran langsung daripada awal hingga berakhirnya sidang DUN, beri ruang kepada rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam sesi ruangan secara fizikal masuk ke sidang DUN.

“Yang ketiga, saya lihat lebih penting iaitu bagaimana untuk kita memberi lebih banyak ruang kepada NGO dalam apa-apa jawatankuasa pilihan yang wujud dalam DUN,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, setakat ini, Terengganu dan Sabah antara negeri yang mempunyai undang-undang serta perlembagaan membenarkan ADUN lantikan.

“Bilangan itu terpulang kepada keperluan kerajaan atau DUN. Misalnya Sabah, kita lihat ada enam ADUN lantikan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Bagi saya, mesti pinda undang-undang tubuh negeri kerana melibatkan perlembagaan negeri dan tidak boleh dilakukan secara sesuka hati, mesti mendapat sokongan dua per tiga daripada ADUN,” ujarnya.

Pada Ahad, Menteri Besar sementara Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu akan mewujudkan ahli backbencher (penyokong) berperanan menegur setiap kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri susulan tiada wakil Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai ADUN dalam pilihan raya negeri (PRN).

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, satu mekanisme jawatankuasa pemantau perlu dilantik bagi membuktikan keterbukaan tatakelola dan pengurusan kerajaan dalam isu-isu berkaitan pentadbiran.

Menurutnya, mekanisme itu boleh dilakukan dengan mewujudkan satu jawatankuasa yang diletakkan khas di bawah perundangan negeri.

“Mungkin atas nasihat institusi diraja Terengganu untuk kebaikan rakyat, mewujudkan satu peraturan khas atau garis panduan bagi memikirkan mekanisme yang bersesuaian untuk meletakkan satu jawatankuasa pemantau sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri itu,” jelasnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan