Sila log masuk terlebih dahulu.

Sasaran 30 peratus belum tercapai
Artikel percuma

15 Ogos 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PILIHAN raya negeri (PRN) yang melabuhkan tirai pada Sabtu lalu, menyaksikan seramai 24 daripada 71 calon wanita daripada pelbagai parti berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) menampilkan 26 calon wanita dan 15 daripadanya menang di kawasan DUN masing-masing.

Perikatan Nasional (PN) yang diperkuatkan dengan gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, memperoleh lapan kerusi daripada 19 calon wanita yang dipertaruhkan.

Barisan Nasional (BN) yang menampilkan 12 calon wanita hanya meraih satu kemenangan melalui Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid iaitu isteri kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, jumlah kemenangan calon wanita dalam PRN kali ini menunjukkan sasaran 30 peratus kaum wanita dalam kerajaan negeri masih belum tercapai.

Menurutnya, ia berdasarkan Dasar Wanita Negara 1988 dan gagasan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Biarpun PRN kali ini menyaksikan kadar kejayaan dalam kalangan wanita mencecah 33.3 peratus, namun hanya 9.8 peratus atau 24 daripada 245 DUN diwakili oleh kaum Hawa," katanya kepada Sinar Premium.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mengulas kejayaan wakil Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hafidzah Mustakim di DUN Kota Lama, Kartini berkata, doktor perubatan itu diterima pengundi kerana merupakan individu yang dikenali dan aktif membantu usahawan wanita di Pasar Siti Khadijah, Kelantan.

Untuk rekod, Dr Hafidzah menang dengan 9,691 undi mengatasi pencabarnya dari Pas, Datuk Zamri Ismail (PN) yang meraih 9,489 undi, calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Boon Kian (126) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary mewakili Bebas dengan 85 undi.

“Dr Hafidzah boleh diterima di Kelantan kerana beliau berkhidmat di klinik awam dan memberi sumbangan bakti kepada penduduk dari sudut kesihatan.

“Beliau turut mempunyai rekod yang baik sebagai Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan sekali gus menjadi faktor penyumbang kemenangannya,” jelasnya.

Kemenangan muka baharu

Selain Dr Hafidzah, kejayaan muka baharu seperti Nurul Syazwani Noh dari PN bagi DUN Permatang turut menjadi tumpuan.

“Nurul Syazwani yang merupakan Ketua Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang. Beliau menang kerana gelombang hijau inginkan perubahan.

“Permatang merupakan kawasan majoriti Melayu yang memberi kelebihan kepadanya,” ujarnya.

Mengulas prestasi BN yang hanya meraih satu kerusi wanita, Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, UMNO perlu mengambil tindakan drastik serta perlu memahami perubahan budaya politik Malaysia.

“Jika UMNO kekal di takuk lama, mereka akan terus ditolak rakyat. Tempoh empat tahun yang masih ada perlu digunakan sebaiknya untuk bermuhasabah, menaikkan pimpinan muda dan cepat beradaptasi dengan suasana politik baharu dengan memahami kehendak anak muda,” ujarnya.

Melihat kepada kegagalan 10 calon wanita diketengahkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Wan Rohila menjelaskan, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu tidak mampu mencipta gelombang yang mampu menarik pengundi.

“Muda masih dipandang sebagai parti elitis, berpendidikan, pandai berkata-kata serta bijak melontarkan idea namun belum mampu mencipta gelombang.

“Tidak dinafikan, Muda juga dilihat sebagai ‘parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman’ sahaja,” katanya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan