Sila log masuk terlebih dahulu.

Berundur bukan cara selamatkan UMNO
Artikel percuma

17 Ogos 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PRESTASI buruk UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu bukan sekadar merobek imej parti, malah mewujudkan gesaan peletakan jawatan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan sedikit yang menuding jari kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu setelah rekod memalukan BN-UMNO yang hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi ditandingi di enam PRN lalu.

BN-UMNO meraih 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan, malah lebih teruk lagi parti itu gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Walaupun Ahmad Zahid sendiri menyedari gesaan pelbagai pihak agar segera berundur, namun setakat ini beliau tidak menyatakan akan berbuat demikian sebaliknya berikrar untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Katanya, ini bukan kali pertama Presiden UMNO didesak untuk berundur, sebaliknya ia juga pernah berlaku terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada parti.

Persoalannya, adakah peletakan jawatan Ahmad Zahid daripada UMNO satu-satunya cara memastikan survival parti keramat Melayu itu sekali gus menyelamatkannya daripada lenyap?

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berpendapat, peletakan jawatan Presiden UMNO semata-mata bukan jaminan mutlak dapat menyelamatkan parti dan mengembalikan sokongan rakyat.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Banyak faktor kekalahan BN-UMNO dalam PRN kali ini dan juga pilihan raya umum (PRU) lalu, bukan sekadar isu Presiden UMNO yang perlu diselesaikan tetapi kepimpinan UMNO juga perlu kepada reformasi selaras dengan kehendak akar umbi.

“Jika ingin kekal relevan, penstrukturan UMNO perlu dibuat bermula daripada Presiden, Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Pengerusi UMNO Negeri, Bahagian dan juga sayap Pemuda serta Wanita,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata, UMNO perlu menyerahkan mandat kepimpinan kepada ahli untuk memilih calon baharu yang berintegriti demi memastikan kelangsungan UMNO pada masa akan datang.

“Rakyat mahukan pemimpin yang bersih dan tiada isu yang disabitkan di mahkamah yang membolehkan UMNO lemah dan menjadi sasaran parti lain.

“Hentikan juga perjuangan peribadi dan tumpukan perjuangan rakyat serta tidak malu untuk bangkit membawa perubahan yang lebih dinamik untuk Malaysia,” ujarnya.

Faktor penolakan

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula berkata, walaupun kajian firma penyelidikan itu mendapati faktor penolakan terhadap BN-UMNO adalah kerana Ahmad Zahid, namun realitinya sukar untuk melihat beliau melepaskan jawatan.

Justeru, satu kajian mengenal pasti faktor penolakan orang Melayu terhadap BN-UMNO perlu dilakukan segera sebagai langkah drastik untuk menyelamatkan parti berkenaan.

“Kajian mengenal pasti faktor penolakan orang Melayu terhadap BN-UMNO perlu dilakukan segera bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku serta maklum balas sikap sebenar orang Melayu terhadap UMNO serta perubahan apa yang mereka mahu parti tersebut lakukan.

“Jika tidak, walaupun Ahmad Zahid berundur, tiada jaminan UMNO boleh bangkit semula,” katanya.

Menurut Hisommudin, dalam kes kemerosotan sokongan terhadap BN-UMNO ini, imej Ahmad Zahid tidak diurus dengan baik begitu juga komunikasi Presiden UMNO berkenaan dengan ahli dan rakyat.

“Kesannya, didapati wujud pandangan konsensus dalam kalangan pengundi UMNO yang ditemui meletakkan faktor Ahmad Zahid sebagai punca utama mereka tawar hati untuk mengundi UMNO walaupun masih sayang kepada parti itu,” ujar beliau.

Sebagai perbandingan katanya, Najib sebelum ini mengambil keputusan melepaskan jawatan selepas kekalahan BN pada PRU14, walaupun ada yang menjauhkan diri daripada Najib namun tindakan pantas beliau telah menyelamatkan keadaan parti ketika itu.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang berlaku tidak lama selepas PRU14, Najib keseorangan namun beliau mengorak langkah dengan pantas.

“Berkomunikasi melalui Facebook, merapati rakyat serta menerima kempen anak muda dan akhirnya popular dengan slogan Malu Apa Bossku yang menjadi trend,” kata beliau.

Natijahnya, pada PRK Cameron Highlands faktor ‘bossku’ mula membesar sehinggalah kepada PRN Melaka dan Johor sekali gus membantu BN mendapat kemenangan.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan