Sila log masuk terlebih dahulu.

Jika tiada orang ketiga...
Artikel percuma

19 Ogos 2023 08:15am | Masa membaca: 4 minit
Gambar atas kiri: Dr Hafidzah, Zaidy, Megat Zulkarnain, gambar bawah kiri: Johan, Tengku Zamrah, Hisommuddin
Gambar atas kiri: Dr Hafidzah, Zaidy, Megat Zulkarnain, gambar bawah kiri: Johan, Tengku Zamrah, Hisommuddin
A
A
A

Keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu menyaksikan sekiranya ketiadaan calon ketiga atau keempat di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ia mungkin merekodkan keputusan yang berbeza.

Ini kerana pertembungan tiga atau empat penjuru sama ada melibatkan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Utama Rakyat (PUR) atau Bebas telah menyebabkan calon gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) merekodkan kemenangan atau kekalahan tipis, kurang 500 undi di kawasan DUN terbabit.

Tujuh kerusi yang dimaksudkan ialah DUN Taman Templer, Gombak Setia, Dusun Tua, Sungai Kandis dan Dengkil di Selangor; DUN Ampangan di Negeri Sembilan serta Kota Lama di Kelantan.

Sebagai contoh, calon PH-BN, Anfaal Saari mungkin boleh menang dengan majoriti lebih besar berbanding 467 undi atau jumlah keseluruhan 22,247 undi di DUN Taman Templer sekiranya calon Muda, Aida Rahman tidak bertanding dan semua undinya berjumlah 765 berpihak kepada wakil Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

Sebaliknya juga mungkin berlaku jika semua undi diraih Aida memihak kepada Zaidy Abdul Talib, maka calon PN itu boleh merampas kembali DUN Taman Templer yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Zaidy boleh meraih kemenangan 22,545 undi sekali gus membolehkannya menewaskan Anfaal yang memperoleh 22,247 undi.

Nasib Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mungkin berbeza di DUN Gombak Setia jika 1,076 undi yang diraih calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali memihak kepadanya.

Megat Zulkarnain boleh menang dengan 31,317 undi atau majoriti 1,018 undi mengatasi penyandang kerusi itu daripada PN, Muhammad Hilman Idham yang meraih 31,375 undi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Orang kanan Megat Zulkarnain pula iaitu Timbalannya, Datuk Johan Abd Aziz mungkin kehilangan DUN Dusun Tua jika 3,110 undi yang diraih calon Muda, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad memihak kepada calon PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Azhar Hambali.

Azhar mungkin boleh menang dengan 26,851 undian jika semua undi diraih calon Muda memihak kepadanya, sekali gus merekodkan kemenangan tipis majoriti 96 undi mengatasi Ketua UMNO Bahagian Semenyih itu.

Di Negeri Sembilan, Muhammad Ghazali Zainal Abidin boleh mencipta kemenangan di DUN Ampangan jika 3,079 undi yang diraih calon Bebas, Mohamad Rafie Ab Malek memihak kepada calon daripada PN itu.

Muhammad Ghazali yang sebelum ini mengumpul 5,725 undi boleh menang dengan 8,804 undi, sekali gus menewaskan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang mewakili PH dengan pungutan 6,054 undian.

Situasi sama juga boleh berlaku di Kelantan melibatkan DUN Kota lama yang menjadi milik PH-Amanah pada PRN lalu.

Dr Hafidzah Mustakim menang dengan 9,691 undi mengatasi pencabarnya daripada PN, Datuk Zamri Ismail yang meraih 9,489 undi; calon PRM, Tan Boon Kian (126) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary mewakili Bebas dengan 85 undi.

Jika 211 undi yang diraih Boon Kian dan Izat Bukhary memihak kepada Zamri, Pas boleh mengekalkan penguasaan di DUN Kota Lama, sekali gus menafikan kejayaan pertama Amanah menawan DUN di Kelantan.

TIADA JAMINAN

Melihat kepada kemungkinan pindahan undi itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar tidak yakin keputusan tujuh DUN berkenaan akan berubah biarpun hanya berlaku pertembungan dua penjuru, PH-BN menentang PN di tujuh kerusi DUN marginal rendah terbabit.

Beliau berkata, tiada siapa dapat memberi jaminan bahawa pengundi calon Bebas atau Muda, PSM dan PRM akan berpihak kepada calon BN-PH atau PN.

“Kita tidak boleh membuat andaian kerana belum tentu pengundi calon ketiga atau keempat akan keluar mengundi jika berlaku hanya pertembungan dua penjuru di DUN terbabit. Kita juga tidak boleh membuat andaian bahawa mereka akan mengundi calon BN-PH atau PN jika keluar mengundi sekalipun.

“Itu semua adalah andaian parti politik sahaja, misalnya PH melihat undi Muda atau PSM atau PRM akan berpihak kepada mereka sekiranya hanya berlaku pertembungan dua penjuru. Namun adakah itu akan terjadi kerana tiada jaminan yang jelas berhubung perkara berkenaan,” kata beliau.

Pun begitu, Hisommudin mengakui bahawa kehadiran calon ketiga atau keempat telah memecahkan undi, sekali gus menyebabkan wakil BN-PH dan PN menang atau kalah dengan majoriti kecil di kerusi ditandingi mereka dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu.

INFO

Senarai tujuh DUN yang mungkin berubah

SELANGOR

DUN TAMAN TEMPLER

Jumlah Pengundi: 62,978

Anfaal Saari (PH) - 22,247 undi

Zaidy Abdul Talib (PN) - 21,780 undi

Aida Rahman (Muda) - 765 undi

Majoriti: 467

Undi Rosak: 198

Jumlah Undi: 45,357

Peratus Mengundi: 72.02%

DUN GOMBAK SETIA

Jumlah Pengundi: 88,480

Muhammad Hilman Idham (PN) - 30,299 undi

Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) - 30,241 undi

Mohamed Salim Mohamed Ali (Bebas) - 1,076

Majoriti: 58

Undi Rosak: 297

Jumlah Undi: 62,250

Peratus Mengundi: 70.35%

DUN DUSUN TUA

Jumlah Pengundi: 74,419

Datuk Johan Abd Aziz (BN) - 26,755 undi

Azhar Hambali (PN) - 23,741

Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Muda) - 3,110

Majoriti: 3,014

Undi Rosak: 306

Jumlah Undi: 53,988

Peratus Mengundi: 72.55%

DUN SUNGAI KANDIS

Jumlah Pengundi: 78,605

Wan Dzahanurin Ahmad (PN) - 28,926 undi

Zawawi Ahmad Mughni (PH) - 28,759 undi

Afriena Shaqira Sariff (Muda) - 1,341 undi

Majoriti: 167

Undi Rosak: 304

Jumlah Undi: 59,440

Peratus Mengundi: 75.62%

DUN DENGKIL

Jumlah Pengundi: 93,931

Datuk Seri Jamil Salleh (PN) - 33,561 undi

Noorazli Said (BN) - 33,154 undi

Darren Ong Chung Lee (PSM) - 1,782 undi

Mohd Daud Leong Abdullah (PUR) - 668 undi

Majoriti: 407

Undi Rosak: 436

Jumlah Undi: 69,731

Peratus Mengundi: 74.24%

NEGERI SEMBILAN

DUN AMPANGAN

Jumlah Pengundi: 20,992

Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH) - 6,054 undi

Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN) - 5,725 undi

Mohamad Rafie Ab Malek (Bebas) - 3,079 undi

Majoriti: 329

Undi Rosak: 79

Jumlah Undi: 14,963

Peratus Mengundi: 71.28%

KELANTAN

DUN KOTA LAMA

Jumlah Pengundi: 33,043

Dr Hafidzah Mustakim (PH) - 9,691 undi

Zamri Ismail (PN) - 9,489 undi

Tan Boon Kian (PRM) - 126 undi

Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) - 85 undi

Majoriti: 202

Undi Rosak: 192

Jumlah Undi: 19,610

Peratus Mengundi: 59.35%

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan