Sila log masuk terlebih dahulu.

Model gaji progresif perlu mesra PMKS
Artikel percuma

19 Ogos 2023 01:00pm | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MALAYSIA sedang berada dalam fasa reformasi pasaran buruh di mana gaji pekerja menjadi salah satu pemacu perubahan utama yang diberikan penekanan khusus.

Dalam pada itu, umum mengetahui bahawa Dasar Gaji Progresif telah dipersetujui akan pelaksanaannya oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru itu, agenda nasional ini perlu dilaksanakan segera bagi memastikan peningkatan gaji pekerja boleh direalisasikan dan seterusnya menyokong aspirasi halatuju Ekonomi MADANI.

Susulan itu, sasaran untuk mencapai 45 peratus pendapatan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya mampu dicapai dengan adanya satu sistem gaji yang boleh melonjakkan pendapatan pekerja, terutamanya pekerja dalam kategori berkemahiran rendah.

Secara asasnya, model gaji progresif akan menyediakan satu garis panduan yang komprehensif kepada pemain industri mengikut sektor ekonomi tertentu.

Garis panduan tersebut mengambil kira peningkatan gaji pekerja secara beransur-ansur dan berstruktur berdasarkan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Pewujudan garis panduan ini akan memudahkan pemain industri untuk membuat rujukan bagi penentuan gaji dan tingkat kemahiran yang diperlukan oleh pekerja mereka.

AMIR
AMIR

Disyorkan artikel berkaitan ini:

KETIADAAN SISTEM GAJI BERSTRUKTUR DALAM PMKS

Di Malaysia, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meliputi lebih 97 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan, dan menyumbang sekitar 38 peratus kepada KDNK negara.

Peranan yang dimainkan oleh sektor PMKS ini meliputi pelbagai sektor ekonomi dan seterusnya menyerap lebih 48 peratus jumlah tenaga buruh dalam negara.

Justeru itu, sebarang perubahan dasar semasa akan memberikan implikasi kepada sektor PMKS termasuk dalam konteks pelaksanaan dasar gaji progresif.

Realitinya, tidak dinafikan peningkatan gaji akan memberikan implikasi kepada kos pengeluaran PMKS dan seterusnya bebanan tersebut akan dipindahkan melalui tingkat harga pasaran yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, dalam konteks sistem gaji dalam sektor PMKS ini, hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendapati sekitar 49 peratus daripada pemain PMKS di Malaysia tidak memiliki sistem gaji berstruktur.

Ketiadaan sistem gaji berstruktur ini menyukarkan majikan untuk merancang kadar gaji yang bersesuaian kepada pekerja. Selain itu, peningkatan gaji pekerja juga sukar untuk ditentukan secara progresif mengikut peningkatan kemahiran dan prestasi pekerja.

Justeru itu, pendidikan kesedaran kepada PMKS perlu diperluas supaya sistem gaji yang lebih bersistematik dan berstruktur dapat digunapakai dalam urusan pentadbiran perniagaan.

LIBATKAN PMKS DALAM PELAKSANAAN DASAR GAJI PROGRESIF

Pelaksanaan dasar gaji progresif dilihat dapat dilaksanakan menerusi rundingan antara majikan, pekerja dan pembuat dasar dalam satu sistem model tripartite yang telus dan berkesan.

Hal ini bagi memastikan pembangunan garis panduan gaji progresif boleh diselaraskan dengan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Adalah wajar bagi kerajaan untuk meneliti penglibatan aktif pemain PMKS dalam model trapartite ini supaya suara sektor PMKS ini tidak dipinggirkan dalam memberikan pandangan dan idea ke arah pelaksanaan sistem gaji baharu yang inklusif.

Sebagai contoh, negara Singapura telah melibatkan persatuan majikan yang menaungi PMKS dalam model trapartite model gaji progresif negara tersebut dalam usaha untuk mengetengahkan peranan PMKS dalam penentuan struktur gaji.

MUHAMMAD ZHARIF
MUHAMMAD ZHARIF

AMALAN TERBAIK MODEL GAJI PROGRESIF SYARIKAT PMKS

Kajian yang dilakukan oleh EU-ERA juga mendapati terdapat syarikat PMKS di Malaysia telah melaksanakan model gaji yang mirip kepada model gaji progresif ini.

Justeru itu, pihak kerajaan perlu mengenalpasti secara lebih mendalam pemain industri tersebut bagi mengumpul maklumat terperinci berkaitan kebolehlaksanaan model gaji progresif oleh syarikat PMKS.

Usahasama antara pihak kerajaan dengan syarikat PMKS yang telah mengadaptasi model gaji progresif perlu dipergiatkan untuk mewujudkan satu ekosistem sokongan yang informatif, efektif dan mesra PMKS.

Malahan, amalan terbaik model gaji progresif yang diamalkan oleh syarikat berkenaan boleh dijadikan bahan promosi, sumber maklumat dan rujukan kepada pemain PMKS yang lain.

Tambahan itu, ekosistem bimbangan secara berterusan melalui program pembangunan kapasiti dan pendekatan mentor-mentee boleh dilaksanakan bagi memastikan kelestarian pelaksanaan dasar gaji progresif ini.

*Datuk Amir Omar ialah Felo Penyelidik Utama Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) manakala Muhammad Zharif Luqman Hashim ialah Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA).

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan