Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemuda UMNO bincang 4 perkara
Artikel percuma

20 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Sesi Post Mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO pada Khamis, membincangkan empat sub topik utama iaitu melibatkan isu konfigurasi politik, kepimpinan parti, pengurusan pilihan raya serta UMNO dan Melayu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, post mortem itu juga bagi mengenal pasti pelbagai isu berbangkit dalam parti demi menambah baik imej dan prestasi, rentetan prestasi hambar pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Kita membuka ruang kepada semua wakil menyampaikan pendapat tentang isu konfigurasi politik, kepimpinan parti, pengurusan pilihan raya serta UMNO dan Melayu.

“Masing-masing mengutarakan apa yang perlu ditambah baik dan secara keseluruhan, kita cuba bawa pelan transisi yang akan meremajakan parti bukan sekadar di peringkat pusat tetapi juga di peringkat bahagian,” katanya kepada Sinar Premium.

Jelasnya, segala pandangan dan suara yang dibawa oleh anak muda perlu diberi perhatian dan kegagalan untuk mengadaptasi segala suara akar umbi, bakal membawa satu kontradiksi besar terhadap kepimpinan UMNO keseluruhannya.

Sesi post mortem dibuat Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, susulan kekalahan teruk UMNO dalam PRN lalu, sekali gus mengambil tanggungjawab mengembalikan maruah parti di mata rakyat.

Beliau menegaskan, Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk lebih agresif sekiranya suara dan cadangan sayap parti itu tidak didengar barisan kepimpinan parti.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Untuk rekod, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) meraih 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan.Di Kedah dan Terengganu, UMNO gagal meraih sebarang kerusi.

Tambah Mohammad Sollehin, turut dibincangkan pada sesi yang dihadiri pemuda bahagian dan dua Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Abdul Rahman Dahlan itu adalah kepentingan melindungi institusi UMNO.

“Kita tidak boleh terus berada dalam sindrom penafian, sebaliknya perlu segera menyelesaikan semua isu dalam parti dan reset baharu agar dapat bergerak maju ke hadapan.

“Bercakap mengenai reset tidak semestinya tentang ‘membuang’ mana-mana individu, sebaliknya semua pihak dalam parti perlu ada perancangan untuk melindungi dan mempertahankan institusi UMNO,” katanya.

Ikut saluran

Ditanya tentang tindakan agresif yang disebut Dr Muhammad Akmal, Mohammad Sollehin berkata, desakan akar umbi itu perlu diberi perhatian, namun ia akan berlaku dalam keadaan beradab dan mengikut saluran yang betul.

Katanya lagi, sesi post mortem akan diteruskan di seluruh negeri dengan melibatkan pimpinan UMNO negeri bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan parti.

“Semua dapatan akan dirangkumkan dalam satu survei untuk dibentangkan kepada pucuk pimpinan parti dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sekali gus menyatakan inilah yang perlu dilakukan sekiranya mahu melihat parti kembali kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar yang turut hadir pada sesi post mortem tersebut berkata, antara inti pati lain turut dibicarakan termasuk penerangan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi kepada ahli dan penyokong baik dari Pakatan Harapan mahupun BN.

Katanya, di akhir sesi post mortem, kesemua yang hadir sepakat memberi mandat, sokongan dan kepercayaan penuh kepada Dr Muhammad Akmal untuk mewakili suara sayap parti itu dalam memikir, mencari, merunding mahupun memberi tekanan bagi mencari jalan terbaik memastikan terlaksananya hasrat barisan kepimpinan muda itu.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan