Sila log masuk terlebih dahulu.

'Sudah terlewat untuk UMNO adakan EGM'
Artikel percuma

21 Ogos 2023 08:15am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PRESTASI hambar UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) lalu menyebabkan ramai pihak meletakkan beban kesalahan di atas bahu Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut digesa meletak jawatan dengan segera.

Tidak kurang juga pemerhati politik yang mengutarakan pandangan supaya diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau pemilihan semula pucuk pimpinan tertinggi termasuk jawatan presiden dan timbalannya dalam masa terdekat.

Hal ini bagi membolehkan akar umbi UMNO memilih barisan kepimpinan baharu yang mampu meremajakan parti itu sekali gus mengembalikan sokongan rakyat seperti sebelum bermula era kejatuhannya pada 2018.

Bagaimanapun, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, sudah terlewat dan kurang relevan untuk UMNO mengadakan EGM atau pemilihan semula jawatan tertinggi buat masa ini.

“UMNO sepatutnya mengadakan EGM sebelum PRN bagi menunjukkan kepada rakyat terutama orang Melayu dan penyokongnya bahawa krisis dalaman sudah selesai, mempamerkan kekuatan, perpaduan dan mereka boleh bergerak sebagai satu pasukan dalam PRN lalu.

Awang Azman
Awang Azman

“Ini kerana sebarang kemenangan atau kekalahan sesebuah parti adalah tanggungjawab bersama bukannya hanya menyalahkan seorang pemimpin umpamanya Presiden UMNO semata-mata,” katanya kepada Sinar Premium.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Awang Azman juga yakin UMNO mempunyai mekanisme lain seperti mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi membincangkan isu kekalahan teruk UMNO-BN pada PRN enam negeri minggu lalu tanpa perlu mengadakan EGM.

Untuk rekod, UMNO yang mewakili BN pada PRN di enam negeri lalu sekadar menang 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, cadangan mengadakan EGM hanya usul pihak tertentu sahaja, namun ia tiada dalam perlembagaan parti.

Mustapha turut yakin pucuk pimpinan UMNO diketuai Ahmad Zahid sedang memikirkan kaedah paling berkesan bagi menyelesaikan masalah krisis keyakinan pengundi dan rakyat selepas UMNO-BN kalah teruk dalam PRN lalu.

Menurutnya, semua pemimpin UMNO dari presiden hingga ke peringkat cawangan dan akar umbi perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk UMNO-BN dalam PRN lalu, bukannya hanya mendesak Presiden parti seorang sahaja meletakkan jawatannya.

“Dalam UMNO kita bukan hanya ada institusi Presiden semata-mata, sebaliknya kita ada Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, tiga ketua sayap dan 50 Ahli MKT, selain 191 Ketua Bahagian UMNO, 191 Ketua Pemuda, 191 Ketua Wanita dan 191 Ketua Puteri Bahagian.

“Jadi kenapa Presiden UMNO sahaja kena letak jawatan, kenapa tidak semua pemimpin UMNO di peringkat Pusat, bahagian dan cawangan meletakkan jawatan serentak bagi memudahkan kita mengadakan pemilihan semula parti secepat mungkin?” katanya.

Tambah Mustapha, beliau masih tidak menerima kekalahan UMNO kerana parti itu memiliki beribu orang jentera parti yang terdiri daripada ahli jawatankuasa (AJK) cawangan dan bahagian di setiap Parlimen di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Jadi kenapa bila kalah pilihan raya umum (PRU) atau PRN hanya Presiden sahaja kena berhenti kenapa pemimpin UMNO bahagian dan cawangan enggan berbuat demikian secara suka rela atau desak supaya UMNO dibubar lebih senang,” katanya.

Beliau juga pelik kenapa pemimpin UMNO berkenaan tidak berani bersuara dan mendesak pemimpin pembangkang seperti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan jawatan mereka selepas pembangkang kalah dalam PRN Melaka dan Johor beberapa tahun lalu.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan