Sila log masuk terlebih dahulu.

Filem Melayu yang hilang
Artikel percuma

01 September 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SAYA percaya banyak orang mengetahui nama filem pertama arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Merdeka Filem Studio. Sayangnya tidak banyak yang dapat menontonnya.

Filem itu adalah Sitora Harimau Jadian yang diterbitkan pada tahun 1964. Apabila berpindah ke Merdeka Filem Studio (MFS) di Kuala Lumpur, P Ramlee memilih genre yang tidak pernah dibuatnya sebelum ini, filem seram. Filem lakonan P Ramlee, Mahmud Jun, Fazliyaton, Ali Rahman dan Minah Hashim ini diiklankan sebagai “filem corak seram”.

Sitora Harimau Jadian adalah salah sebuah daripada lebih 90 buah filem Melayu yang tidak dapat dikesan salinan asalnya. Maklumat menarik ini terkandung dalam buku yang disusun oleh Danial Aziz Ahmad berjudul Filem Melayu Yang Hilang. Menurut buku yang penting ini, filem-filem ini dipercayai pupus buat selama-lamanya.

Filem Melayu mencecah era gemilangnya pada penghujung tahun 50-an dan awal 60-an. Filem-filem Melayu ketika itu sebahagian besarnya bertapak di Malay Filem Productions (MFP) dan Cathay Keris Film di Singapura.

Menurut penulis buku ini, terdapat empat sebab mengapa salinan asal filem-filem ini hilang. Pertama, disebabkan Perang Dunia Kedua. Banyak flem yang dibuat sebelum perang musnah begitu sahaja.

Punca kedua adalah kebakaran yang berlaku di MFP pada 17 Jun 1964. Pada tahun 1966 pula berlaku banjir besar yang merosakkan sebahagian filem-filem MFP.

Alasan keempat lebih dramatik - sebahagian filem-filem itu sengaja dibuang. Ini membabitkan tuan punya Cathay Keris Film, Ho Ah Loke. Terdapat beberapa versi mengapa hal itu berlaku.

Versi pertama adalah masalah penyimpanan yang mahal menyebabkan sebahagian filem-filem berharga telah dibuang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Versi kedua adalah isteri Ah Loke mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelakon jelita pada masa itu, lalu semua filem lakonan seniwati itu dibuang ke dalam lombong.

Versi lebih menarik adalah Ah Loke sendiri kecewa apabila wanita tersebut mengahwini seorang anggota keluarga di raja lalu beliau membuang semua filem lakonannya.

Apa yang penting, yang patah tidak tumbuh yang hilang tidak mungkin berganti. Dalam kes filem Melayu yang hilang, tentulah ia kerugian besar bagi sejarah dunia perfileman Melayu. Dalam buku ini, Danial Aziz Ahmad menyenaraikan hanya 40 buah filem yang dibahagikan pada lima dekad (dekad 30-an hingga 70-an).

Filem-filem yang disenaraikan itu sendiri sebahagiannya merupakan filem yang dianggap hebat dan ikonik. Filem Melayu yang pertama, Laila Majnun berkubur tanpa nesan. Filem yang dilakonkan oleh M. Suki, Fatimah Jasman dan Syed Ali Mansor ini dibiayai oleh saudagar India dari Calcutta (sekarang Kolkata) pada tahun 1934.

Filem pertama lakonan Kasmah Booty berjudul Cempaka arahan B.S Rajhans juga tidak dapat dikesan. Dalam dekad 50-an, salah sebuah filem yang disenaraikan hilang adalah Pulau Mutiara yang dipercayai merupakan filem pertama lakonan Maria Menado.

Salah sebuah filem seram yang popular pada tahun-tahun 1960-an adalah Pontianak (1957) arahan B.N. Rao. Filem ini juga dalam senarai hilang. Akibat populariti filem ini B.N. Rao telah mengarahkan dua buah filem lagi mengenai puntianak, Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958).

Pada dekad 60-an pula, 11 buah filem disenaraikan dalam buku ini sebagai hilang. Di antaranya adalah filem Hilang Gelap Datang Terang (1961). Filem ini mungkin usahasama rasmi yang pertama di antara Malaysia dan Indonesia (Merdeka Film dan Perusahaan Filem Indonesia atau Perfini).

Buku ini menyebutkan pengarahnya adalah Usmar Ismail. Bagaimanapun menurut Katalog Filem Indonesia 1926-1995 susunan JB Kristanto, pengarahnya dicatatkan sebagai Ho Ah Loke. Katalog itu menyebutkan tarikh terbit filem ini adalah 1959.

Dua buah filem yang dianggap ikonik yang turut hilang dalam dekad 60-an adalah Melancong ke Tokyo (1964) arahan Ramon A. Estella dan Istana Berdarah arahan Hussein Haniff.

Melancong ke Tokyo dipercayai merupakan filem Melayu berwarna kedua selepas Hang Tuah arahan Phani Majumdar (1956). Ia juga merupakan filem Melayu pertama yang penggambarannya dibuat di Tokyo.

Filem Istana Berdarah merupakan filem keenam pengarah legenda Hussein Haniff. Filem ini didasarkan daripada drama William Shakespeare yang terkenal, Macbeth. Besar kemungkinan Hussein Hanif dipengaruhi oleh adaptasi yang dibuat oleh pengarah Jepun Akira Kurosawa dari Macbeth. Filem itu adalah Throne of Blood (1957).

Dua buah filem yang disenaraikan hilang dalam dekad 70-an adalah Pedang Sakti (1971) terbitan Merdeka Filem arahan S Sudarmaji dan Anakku Suamiku (1974) juga terbitan Merdeka Film arahan Omar Rojik.

Saya menyanjung tinggi usaha Danial Aziz Ahmad menghasilkan buku ini pada tahun 2022. Saya percaya ia merupakan work-in-progress. Saya berharap beliau akan mendapat dana secukupnya untuk meneruskan usaha mengesan filem-filem Melayu lain yang hilang.

Filem adalah salah satu manifestasi kesenian yang paling berpengaruh dan penting. Sejarah filem Melayu sangat istimewa. Kehilangan filem-filem ini amat dikesali. Mungkin salahnya adalah proses pendokumentasian dan pengarkiban filem-filem ini.

Filem-filem Melayu yang lain harus ditempatkan secara selamat sebagai legasi kecemerlangan kesenian Melayu.

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi aktivis pentas dan juga seorang penelaah seni filem yang tekun.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan