Tragedi demam campak tahun lalu yang mengorban 14 nyawa orang asli Bateq di Gua Musang, Kelantan memberi trauma luar biasa kepada etnik ini.
Apabila Covid-19 melanda dunia dan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang asli Bateq kembali menghidupkan amalan nenek moyang mereka dengan kembali ke dalam hutan bagi mengelakkan penularan virus.
SINAR HARIAN menjejaki kisah unik orang asli Bateq melawan Covid-19 di dua perkampungan di Kampung Aring 5 dan Kampung Kuala Koh, Gua Musang.


Kampung orang asli Bateq Aring 5 mempunyai 400 penghuni. Terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang. Hampir 100 peratus penduduk asli di Aring 5 beragama Islam.
Penduduk asli di Aring 5 sudah terdedah dengan modenisasi apabila memiliki kemudahan air, elektrik, surau, sekolah khas.
Raina Anjang merupakan Tok Penghulu kepada penduduk orang asli Bateq di Aring 5.
Selain sumber hutan dan mengusahakan tanaman getah hasil inisiatif Jabatan Kemajuan Orang Asli, sebahagian kecil penduduk di sini juga bekerja di ladang sawit berdekatan.
Kampung orang asli Bateq Kuala Koh mempunyai hanya kira-kira 200 penghuni.
Terletak lebih jauh ke kawasan pedalaman, jarak perjalanan dari Aring 5 ke Kuala Koh mengambil masa hampir sejam.
Penduduk di sini agak ketinggalan dari segi kemudahan dan modenisasi disebabkan oleh kedudukan goegrafi kampung yang jauh di pedalaman.
Rata-rata penduduk masih bergantung penuh kepada hasil hutan sebagai mata pencarian.
Orang asli Bateq juga diberi gelaran sebagai Penjaga Hutan. Mereka hidup secara nomad di persekitaran Banjaran Tahan, namun mula ditempatkan di perkampungan tetap oleh kerajaan sejak hampir 30 tahun lalu.
