Sila log masuk terlebih dahulu.

Sampai bila mahu berpolitik?

06 Jun 2020 07:20am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

APAKAH mungkin kita akan menyaksikan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal daripada yang sepatutnya? Soalan inilah yang barangkali berlegar dalam fikiran semua setelah menyaksikan drama politik yang berlaku ketika ini.

Kalau Istana yang neutral sudah mula melenting dengan politik semasa, apatah lagi rakyat jelata. Lihat sahajalah keputusan pungutan suara stesen berita Astro Awani pada Rabu lalu menerusi empat platform media sosialnya yang memperlihatkan lebih 90 peratus responden bersetuju bahawa mereka terganggu dan tidak senang dengan politik semasa.

Gelora dalaman politik Bersatu ketika ini berpotensi untuk menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dengan ura-ura ada ahli Parlimen Bersatu yang akan membuat pusingan-U kembali menyertai kem Tun Dr Mahathir, persediaan kepada sebarang kebarangkalian nampaknya semakin ketara.

Dengan peletakan jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Sri Gading daripada Bersatu serta kekecohan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu Khamis lalu, tidak mustahil kemelut itu akan membawa kepada bencana yang lebih besar.

Tambahan pula, setakat ini parti-parti komponen PN terutamanya UMNO dan Pas hanya mendiamkan diri dan berwaspada memerhati.

Setakat ini diperhatikan UMNO dan Pas masih menunjukkan minat untuk terus bersama dalam PN. Namun belum ada sebarang tanda yang ia akan kekal begitu, sekurang-kurangnya sehingga PRU15 kelak malah secara peribadi penulisan ini skeptikal PN mampu kekal dan bertahan disebabkan dua perkara.

Pertama, PN masih belum menunjukkan satu kesepakatan politik yang meyakinkan. Hal ini akan menjadi lebih bermasalah bila tiba waktu untuk mengagihkan kerusi di antara Bersatu, UMNO dan Pas kalau PRU berlaku kelak.

Kedua, tiada tanda-tanda bahawa UMNO berminat dengan pakatan politik PN ini kalau melihat daripada respons pemimpin kanan parti yang dipinggirkan dalam kerajaan dan masih terpalit dengan kes mahkamah.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pas mungkin parti yang paling beruntung dengan ketidakstabilan politik Bersatu ketika ini. Dinamik sokongan parti itu kepada mana-mana pihak – asalkan tidak melibatkan DAP – memberi kelebihan politik buat Pas.

Berbanding UMNO, kem Dr Mahathir lebih selesa bekerjasama dengan Pas sekiranya Tun Mahathir memperoleh majoriti yang diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Setakat ini, pemposisian Pas sebagai fleksibel menyokong mana-mana kerajaan yang mesra ‘Melayu-Islam’ dilihat bijak dan mengena.

Cumanya bersediakah Tun menerima Pas setelah apa yang berlaku kepada anaknya di Kedah tempoh hari?

Ketika ini, spekulasi bahawa Tun dan PH sedang berusaha untuk merampas semula kerajaan daripada PN kuat diperkatakan.

Walaupun masih dinafikan dan dikatakan sekadar khabar angin, hantaran media sosial daripada tokoh-tokoh tertentu sebaliknya memperlihatkan yang memang ada perundingan, pemujukan dan penawaran sedang berlaku di sebalik tabir.

Memahami politik angka yang sinonim dengan politik Malaysia, jumlah kerusi dan sokongan daripada mana-mana parti amat penting bagi tujuan itu.

Sebab itu sukar untuk mana-mana pihak bersikap ‘jual mahal’ dan ‘bodoh sombong’. Kerana itulah kebarangkalian untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk dan jenama ketika ini boleh berlaku, baik bagi PN mahupun PH.

Cumanya, kalau benar berlaku sekali lagi pertukaran kerajaan, ia perlu menjadi penamat bagi segalanya.

Rakyat sudah letih berterusan diheret ke dalam permainan politik ketika negara berhadapan dengan ketidaktentuan masa depan dunia kerana pandemik Covid-19.

Malangnya, setakat itulah kebarangkalian dan kemungkinan yang berlaku dalam politik negara.

Disebabkan itu, penulis terus teringat kata-kata terkenal Lord Palmerstone bahawa “tiada rakan dan musuh yang kekal, yang kekal hanyalah kepentingan”.

Ini sepatutnya menyedarkan semua betapa rapuhnya nasib sesebuah negara pada tangan mereka yang mengaku pemimpin tapi terus berpolitik tanpa mengira masa.

Cumanya bersediakah Tun menerima Pas setelah apa yang berlaku kepada anaknya di Kedah tempoh hari?”

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Jihad Qaradawi dalam dunia Islam
  2. Mencari makna dalam berdoa
  3. Bahasa menunjukkan apa?
  4. Mana mungkin PH-PN bekerjasama
  5. 'Henti fitnah DAP'