Sila log masuk terlebih dahulu.

PNB bukan lubuk duit korporat

21 Jun 2020 07:05am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

TIDAK kira apa kebenaran dan motivasi di sebalik kontroversi yang melanda Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekarang, satu perkara wajib dipastikan tidak berlaku. Jangan sekali-kali dipolitikkan badan pelaburan rakyat jelata itu!

Sejak ditubuhkan pada Mac 1978 ketika pemerintahan Allahyarham Tun Hussein Onn, alhamdulillah PNB bebas daripada gangguan politik.

Di bawah pasukan pengurusan berwibawa yang dipimpin oleh insan bermaruah, berhemah tinggi dan berpengalaman seperti Allahyarham Tun Ismail Mohd Ali, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan sekarang Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, PNB bukan sahaja kekal, malah maju.

Oleh sebab latar belakang mereka yang cemerlang, pengacau-pengacau dari luar khususnya dalam kalangan politik tidak berani masuk campur berlebihan.

Namun, dalam kalangan pengurusan kanan terutama jawatan Presiden/Ketua Pegawai Operasi, sekali-sekala berlaku tindakan yang merugikan perniagaan PNB.

Kita lihat badan-badan ekonomi dan pelaburan yang dipolitikkan seperti Bank Bumiputra, Perbadanan Nasional (Pernas), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH), sama ada mulfis atau menderita kerugian besar.

Ada antara agensi yang disebutkan itu daripada awal lagi diketuai orang politik sepanjang masa atau dari masa ke masa. Ia termasuklah Bank Bumiputra, Pernas, Felda dan TH.

Sepanjang kefahaman saya, kontroversi di PNB sekarang ada dua cabang. Pertama, dakwaan berkaitan deklarasi kelulusan oleh bekas Presiden/CEO, Abdul Jalil Rasheed dan kedua, pelaburan bermasalah yang cuba diatasi oleh Abdul Jalil.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kerugian

Yang menjadi masalah ialah ada dua atau tiga pelaburan bermasalah itu melibatkan usahawan Melayu berpengaruh dan risiko kerugian yang sangat besar.

Dalam kalangan penggiat ekonomi dan pasaran saham, identiti mereka sudah pun menjadi buah mulut tetapi saya tidak akan menyebut nama mereka di sini.

Cukuplah saya ceritakan bagaimana PNB terlibat dan apakah keburukan yang telah dan sedang berlaku kepadanya.

Kes pertama melibatkan hartanah. Sebuah syarikat kain baju yang mengaku bertaraf bumiputera telah berjaya dalam bidaan membeli tanah kerajaan di Kuala Lumpur.

Ia kemudian menubuhkan sebuah syarikat dan menjual satu pertiga saham (33.3 peratus) kepada seorang pemaju hartanah bumiputera (Melayu) dan satu pertiga lagi kepada PNB.

Itu saja sudah cukup untuk mencetuskan tanda tanya kerana jika PNB hendak membeli tanah itu, ia boleh lakukan sendiri melalui anak syarikat hartanahnya seperti Sime Darby Property Berhad atau SP Setia Berhad. Buat apa beli daripada pihak ketiga?

Yang tidak kena adalah dua pihak menyuntik hanya RM25 juta modal setiap satu tetapi PNB suntik RM250 juta. Ia menimbulkan persoalan dan Abdul Jalil dikatakan sedang cuba memperbetulkan keadaan.

Kes kedua lebih besar dan berat melibatkan pelaburan dalam industri minyak dan gas.

Akibat kejatuhan harga minyak dunia dan isu dalaman syarikat tersebut, kita sekarang bercakap tentang kemungkinan PNB dan anak syarikatnya kerugian berbilion-bilion ringgit.

Sebelum dipecat, Abdul Jalil dikatakan sedang berusaha menyusun semula syarikat itu dengan harapan kembali untung dalam masa 12 bulan.

Saya kenal dengan semua usahawan terlibat dan tahu asal usul mereka mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan sehingga menjadi kaya-raya di luar dugaan.

Malangnya mereka memilih untuk terus bergayut kepada kerajaan dengan menjadikan PNB lubuk duit, sedangkan matlamat PNB adalah untuk membantu bumiputera biasa memiliki sebahagian kekayaan negara melalui pelaburan saham amanah.

Maaf cakaplah kalau saya kata, cara mereka guna pengaruh politik ke atas PNB adalah sangat tidak bermaruah. PNB dan anak-anak syarikatnya akan jahanam jika aliran itu tidak disekat. Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Yunnan dipenuhi gunung-ganang
  2. PRU15: Satu catatan bersejarah
  3. Kerajaan perpaduan nasional
  4. Halimah, Muslim ke-33 paling berpengaruh di dunia
  5. 'Anwar effect' ke atas ekonomi negara