Sila log masuk terlebih dahulu.

Bank perlu beri peluang kedua buat peminjam

29 Jun 2020 08:00am | Masa membaca: 4 minit
Tempoh moratorium wajar dilanjutkan berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara dan juga dunia yang masih terjejas ekoran pandemik koronavirus (Covid -19). -Foto 123rf
Tempoh moratorium wajar dilanjutkan berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara dan juga dunia yang masih terjejas ekoran pandemik koronavirus (Covid -19). -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh moratorium wajar dilanjutkan berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara dan juga dunia yang masih terjejas ekoran pandemik koronavirus (Covid -19).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nor Azira Ayob berkata, pengumuman moratorium oleh kerajaan pada 1 April lalu sememangnya memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas punca pendapatan.

“Jadi adalah wajar sekiranya moratorium itu dapat dilanjutkan bagi tempoh enam bulan lagi setelah merujuk kepada pandangan pakar-pakar ekonomi dunia yang memberikan gambaran bahawa ekonomi global hanya dijangka mula pulih mulai tahun 2021 secara beransur-ansur.

“Mereka yang terjejas bukan sahaja kehilangan punca pendapatan tetap, bahkan ada dalam kalangan mereka turut dipotong gaji serta diberhentikan kerja akibat penutupan perniagaan dan industri dalam tempoh sukar ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam bahawa kerajaan menyerahkan kepada institusi perbankan sama ada untuk melanjutkan tempoh moratorium yang bakal berakhir September depan ataupun sebaliknya.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut mengharapkan agar pihak bank dapat memberi pilihan kepada pelanggan mereka sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memohon tempoh itu dilanjutkan.

Katanya, pihak bank juga boleh meminta mereka membuat permohonan, namun kelulusannya bergantung kepada budi bicara bank.

“Mungkin moratorium yang diberikan itu nanti tidak semestinya melibatkan pembayaran penuh tetapi separuh agar mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaatnya,” kata beliau.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Nada sama turut disuarakan Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor yang berpendapat pihak bank wajar memperincikan mekanisme tertentu sekiranya tempoh moratorium tidak dilanjutkan.

Beliau berkata, pihak bank wajar membantu golongan yang benar-benar terkesan dan sumber pendapatan mereka terjejas akibat penularan Covid-19.

“Mungkin pihak bank boleh memberi kelonggaran kepada pengusaha-pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana yang masih terkesan dan baru kembali beroperasi.

“Jadi keutamaan wajar diberikan kepada pelanggan-pelanggan yang betul-betul terkesan termasuklah mereka yang diberhentikan kerja, gaji mereka dipotong dan sebagainya berbanding kakitangan awam,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan berhubung pelanjutan moratorium itu nanti bergantung kepada institusi perbankan yang terlibat dalam pemberian moratorium pada 1 April lalu.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Musuh UMNO takutkan rakyat, PRU15 tahun ini macam 'cerita hantu'
  2. Ekonomi negara berisiko jadi 'overheating' jika...
  3. Mahasiswa mahu jaminan kerja, gaji lebih baik
  4. Penuhi tuntutan rakyat
  5. Pertimbangan Agong mungkin ambil kira jaminan sokongan majoriti PM