Sila log masuk terlebih dahulu.

Elak bayar cukai satu pengkhianatan

26 Julai 2020 06:55am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membayar tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion adalah satu perintah yang jarang-jarang kita dengar.

Ini kerana di negara kita, perintah seperti ini jarang dibuat oleh mahkamah apatah lagi melibatkan jumlah yang begitu luar biasa besarnya. Jumlah sebenar adalah RM1,692,872,924.83.

Tapi kes semacam ini pernah berlaku sebelum ini ke atas orang lain dan dijadikan asas oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman ke atas Najib.

Di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, ada diperuntukkan kaedah mengutip cukai yang tidak dibayar. Dalam keadaan seperti itu, mahkamah tidak akan melayan sebarang rayuan oleh orang yang berhutang.

Hal ini semua disebutkan oleh hakim dalam membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memungut jumlah itu daripada Najib.

Jumlah tunggakan cukai bekas Perdana Menteri itu memanglah luar biasa jumlahnya. Kalau kita buat perbandingan, ia cukup untuk membiayai pembinaan 23,512 unit pangsapuri berharga RM72,500 setiap satu yang sedang dibina oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Atau cukup untuk membiayai pembinaan sebanyak tujuh buah projek Rancangan Pengairan Muda pada kos RM238 juta tahun 1966.

Cukai tambahan itu adalah bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017. Ini adalah ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Malah Najib menjadi Menteri Kewangan sejak tahun 2008 iaitu masa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kekal dalam jawatan itu sehingga BN kalah dalam pilihan raya umum 2018.

Hal ehwal percukaian ada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan malah Najib pernah dilaporkan sebagai berkata bahawa membayar cukai adalah tindakan patriotisme dan mengelak membayar cukai adalah satu bentuk pengkhianatan.

Yang tentunya terlintas dalam fikiran banyak orang adalah daripada manakah Najib memperoleh pendapatan bercukai yang begitu besar?

Kalau kita tengok pendapatan rasmi dan harta terkumpul seorang Perdana Menteri, jumlahnya tidaklah sampai sebesar itu.

Misalnya dalam perisytiharan harta Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berlangsung sekarang, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaporkan pendapatan bulanan RM93,841.65 (tahunan RM1,126,099) dan harta bernilai antara RM10 juta hingga RM15 juta.

Tapi bagi Najib, pendapatan tahunannya yang paling sedikit pun adalah RM1.41 juta, iaitu pada 2017. Antara tahun 2011 hingga 2017, jumlah pendapatannya ditaksirkan RM5.64 bilion.

Kekayaan dan gaya hidup mewah Najib dan ahli keluarganya mula dibangkitkan pada tahun 2015 termasuk oleh akhbar The New York Times pada 9 Februari tahun itu.

Dalam kenyataan bagi menyangkal dakwaan itu, Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut bahawa kekayaan Najib adalah hasil peninggalan keturunan beliau.

Ini menyebabkan empat orang adik-beradiknya mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyangkal dakwaan Najib itu.

Mereka berkata, tidak wujud harta peninggalan keluarga dan sebarang dakwaan mengenainya adalah penghinaan kepada ayahanda mereka, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, yang terkenal sebagai seorang yang amat 'kedekut' dengan duit kerajaan.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Jihad Qaradawi dalam dunia Islam
  2. Mencari makna dalam berdoa
  3. Bahasa menunjukkan apa?
  4. Mana mungkin PH-PN bekerjasama
  5. 'Henti fitnah DAP'