Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengasingan pesalah syariah

26 Julai 2020 06:40am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SAYA telah beberapa kali menulis tentang keperluan mewujudkan penjara bagi banduan kesalahan jenayah syariah sebelum ini.

Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 memperuntukkan hukuman maksima yang boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri adalah denda lima ribu ringgit, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali. Ruangan kali ini penulis akan membicarakan tentang hukuman penjara atau 'al habs' di dalam undang-undang Islam.

Hukuman pemenjaraan bukan hanya dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia malah ia juga dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di setiap negeri di Malaysia.

Walaupun hukuman penjara oleh mahkamah syariah ini terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun sahaja (berbanding dengan mahkamah sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup) namun hakikatnya mahkamah syariah mempunyai kuasa dan telahpun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah.

Pemenjaraan di dalam Islam bertujuan antara lainnya memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Ia tidak hanya bertujuan untuk menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka sahaja. Banduan di dalam penjara syariah pula perlu diberi layanan sewajarnya, tidak boleh diseksa dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agamanya.

Buat masa ini semua pesalah sama ada pesalah jenayah sivil ataupun jenayah syariah ditempatkan di dalam penjara yang sama. Ini bermakna seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran ataupun melanggar fatwa mufti diletakkan dipenjara yang sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.

Hal ini disebabkan kuasa penahanan adalah terletak di dalam kuasa Persekutuan.

Implikasinya dikhuatiri juga pesalah-pesalah syariah ini akan terdedah dengan pesalah-pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk dari itu cuba melakukan kesalahan lain pula.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dalam hal yang demikian sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah yang lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu pemulihan aqidah, akhlak dan adab dilakukan agar tatkala mereka melangkah keluar dari penjara berkenaan mereka keluar dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan itu.

Implikasi

Mungkin cetusan pandangan ini membawa implikasi yang besar dari segi kewangan kerajaan termasuk perbelanjaan dan penjawatan pegawai awam.

Namun keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara yang ada sekarang gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka.

Seringkali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka merasakan lebih selesa berada di sana. Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara.

Sifat punitif pemenjaraan itu telah dikesampingkan kerana kurangnya nilai keagamaan disemai di dalam penjara. Bukanlah penulis mengatakan tiada langsung program keagamaan diadakan di dalam penjara tetapi apabila dicampurkan antara pesalah-pesalah berat ini dengan pesalah syariah amat tidak sesuai bagi mereka ini dikumpulkan bersama.

Pendekatan rohani adalah acara terbaik ke arah pendidikan banduan kerana banduan ini mempunyai lompang rohani yang besar di dalam diri mereka dan tersasar jauh dari landasan keagamaan.

Bagi tujuan pemulihan terutamanya pesalah aqidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih boleh dilaksanakan. Untuk itu jabatan-jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan

Kebajikan boleh bersama-sama membantu. Di samping itu juga badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan juga boleh membantu pihak penjara syariah dalam program-program yang akan diadakan di situ. Begitu juga para penyelidik dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi juga boleh membantu menjayakan dasar ini.

Program penghayatan agama, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan aqidah dan nilai budaya Islam juga perlu dititikberatkan di dalam modul dakwah di dalam penjara syariah ini.

Dengan cara ini pesalah-pesalah syariah akan menginsafi kesalahan yang mereka lakukan itu dan peluang untuk mereka membuka lembaran baru dalam catatan kehidupan mereka adalah amat besar.

Oleh yang demikian, demi pemulihan adalah perlu kerajaan mengadakan penjara berasingan bagi pesalah syariah ini. Implementasi penjara berasingan ini akan membawa kesan yang amat besar kepada pesalah dan juga sistem keadilan syariah di negara ini.

Dalam masa yang sama juga hukuman lain seperti khidmat masyarakat dan sebatan boleh dilaksanakan di dalam penjara syariah ini.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Amalan beri subsidi tidak wajar diteruskan
  2. Masih ada ruang tambah baik Bajet 2023
  3. Yusuf al-Qaradawi tokoh pemimpin ulung Islam
  4. Polemik Pas-UMNO-Bersatu berpotensi cetus jajaran politik baharu saat akhir
  5. 'Ada 8 syor BN boleh tawarkan'