Sila log masuk terlebih dahulu.

Menjelang PRN Sabah

08 Ogos 2020 06:50am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KETIKA cakap-cakap tentang kerajaan Warisan-Pakatan Harapan (PH) akan tumbang di Sabah timbul sekitar bulan Mei lalu, ramai pemerhati politik bersikap skeptikal dengannya.

Berbanding di Johor, Melaka dan Kedah, kedudukan kerusi Warisan-PH di Sabah dilihat lebih selamat disebabkan jumlah kerusi yang dimiliki pakatan itu berbanding dengan gabungan parti-parti pembangkang.

Namun begitu, pada penghujung Julai lalu, apabila Tan Sri Musa Aman menyatakan beliau mendapat sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan cukup majoriti untuk membentuk kerajaan, ia lantas mengubah bukan sahaja dinamika politik di Sabah, malah di peringkat nasional.

Untuk rekod, jumlah kerusi yang dimilik Warisan-PH ketika ini adalah sebanyak 41 kerusi (tidak termasuk ADUN lantikan) dengan pecahan seperti berikut, Warisan 31 kerusi diikuti DAP (6), UPKO (2) dan PKR (2). Manakala jumlah kerusi parti pembangkang adalah 19 kerusi menerusi Bersatu (9), PBS (4) STAR (2), PBRS (1), UMNO (1) dan Bebas (2).

Secara keseluruhan Sabah mempunyai 60 kerusi untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dan mendapat tambahan 13 kerusi sekali gus menjadikan 73 kerusi bagi PRN akan datang.

Secara perbandingan, penjumlahan kerusi antara kerajaan dan juga pembangkang, memang berasas untuk menjadi skeptikal mengatakan kerajaan Warisan-PH di Sabah akan menerima nasib serupa dengan Johor, Melaka dan Kedah.

Secara relatifnya, kekukuhan kerajaan di Sabah mungkin sama dengan kerajaan PH di Negeri Sembilan, walaupun tidaklah sama seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Jadi mengapa Sabah bermasalah tetapi tidak di Negeri Sembilan?

Jawapannya mudah, di Negeri Sembilan tiada ADUN lompat parti. Walaupun ADUN Rahang keluar DAP, beliau masih mesra PH ketika berada di luar dan sudah pun kembali semua ke dalam DAP setelah 10 hari merajuk. Dengan 20 kerusi PH menerusi DAP (11), PKR (6) dan Amanah (3) berbanding 16 kerusi pembangkang menerusi UMNO (15) dan MIC (1), mungkin sukar untuk memujuk mana-mana ADUN PH keluar atau melompat parti disebabkan majoriti PH di situ yang relatifnya utuh berbanding di tempat lain.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Perbezaan

Hal ini berbeza di Sabah. Pertama, kedudukan asal kerusi seusai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan baik BN mahupun Warisan-PH tidak memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan. Masing-masing terikat seri 29-29 sama!

Maka kita menyaksikan bagaimana permulaan Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas dua ADUN STAR menyokong beliau tetapi kemudiannya beralih kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dua hari selepas itu. Sudah tentulah permasalahan terbesar ialah budaya lompat parti yang sinonim dengan politik Sabah.

Sebab itu dua perkara inilah yang akhirnya membawa kita kepada pengakhiran kemelut politik Sabah yang bakal kembali ke garisan permulaan.

Naratif sama juga berlaku di Johor, Melaka, Kedah malah di peringkat nasional pun. Kedudukan kerusi yang seimbang dan ada individu yang menyeberang sokongan ke kem baharu membawa kepada pertukaran kerajaan. Cuma di Sabah lebih dramatik sebab ia membawa kepada pilihan raya awal.

Penghijrahan ADUN UMNO ke dalam Warisan dan Bersatu dan perubahan kerajaan Pusat selepas ‘Langkah Sheraton’ dilihat menjadi game-changer dalam kemelut ini. Musa Aman mungkin pemangkin kepada permasalahan disebabkan pengaruh dan karakternya yang dominan dengan politik Sabah.

Jikalau Musa Aman tidak muncul pun mungkin gerakan untuk menumbangkan kerajaan Warisan-PH di Sabah tetap akan dilaksanakan.

Kelebihan Bersatu yang menguasai Persekutuan dengan kemampuannya di Sabah semakin membesar disebabkan ADUN UMNO yang sudah melompat antara faktor yang mendorong kepada perkara itu. Namun, manusia hanya mampu merancang, Tuhan menentukan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. 'Tajuddin digantung? Tiada kenyataan dari saya'
  2. Rak kosong, pembeli merungut
  3. Persepsi politik kaum Cina
  4. Kekal aktif, produktif jika bekerja
  5. Bekalan berkurangan hingga 80 peratus sejak Jun