Sila log masuk terlebih dahulu.

Hukuman qisas jamin kehidupan

16 Ogos 2020 06:55am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

TERDAPAT gerakan yang mahu hukuman mati dimansuhkan di Malaysia. Gerakan itu juga disokong oleh beberapa NGO dan Majlis Peguam. Mereka mengatakan antara lain adalah salah bagi manusia mengambil nyawa orang lain dan juga khuatir akan berlaku kesilapan dalam keputusan mahkamah.

Beberapa tahun lepas, kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya pengasas sebuah gedung kecantikan bersama tiga yang lain telah mengejutkan seluruh negara ketika masyarakat Islam di ambang meraikan hari kemenangan Aidilfitri.

Profesion guaman, perbankan dan pemandu sudah tidak lagi dilihat sebagai profesion yang selamat di Malaysia. Mungkin agak keterlaluan mengatakan sedemikian namun risiko tetap ada bagi semua profesion kerana kadar jenayah yang tinggi tidak mengenal profesion apa sekalipun. Apabila nafsu tidak dapat dikawal oleh akal dan lari daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh ALLAH, itulah yang akan terjadi.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.” Di Malaysia pelaksanaan hukuman bunuh dibuat dengan menggantung pesalah sehingga mati.

Jika hukuman bunuh itu dihapuskan bagaimana pula keluarga mangsa yang telah hilang tempat bergantung dan punca rezeki? Mungkin keluarga Datuk Sosilawati tidak menghadapi masalah ini tetapi bagaimana pula keluarga peguam, pegawai bank dan pemandu peribadi yang turut dibunuh dengan kejam itu?

Islam memberi penyelesaian yang amat bijak dalam hal ini. Pembunuhan dikategorikan dalam kes qisas. Hukuman qisas adalah hukuman yang sama dan seimbang dengan kesalahan yang dilakukan. Ia bukan kesalahan terhadap negara tetapi kesalahan terhadap keluarga mangsa. Keluarga mangsa boleh memaafkan kesalahan tersebut. Keistimewaan qisas ialah pihak yang kena tuduh tersebut boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyat. Sekiranya kedua pihak bersetuju maka ganti rugi tersebut boleh menggantikan hukuman qisas itu.

Nyawa seseorang manusia tidak dapat dinilaikan. Tidak ada seorang pun mempunyai kuasa memberikan nyawa kepada seseorang dan tiada seorang pun mempunyai hak mengambil nyawa seseorang melainkan sebagaimana yang telah diperintahkan. Pembunuhan dalam Islam adalah jenayah yang besar. Hal yang demikian dapat dilihat dalam Surah Al Maidah ayat 32 yang bermaksud “Barangsiapa membunuh manusia bukan kerana ia membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh manusia seluruhnya dan barangsiapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah ia memelihara nyawa manusia seluruhnya....” begitu juga di dalam Surah al An’am ayat 151 yang bermaksud “...dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH kecuali dengan suatu sebab yang benar..”.

Dengan adanya qisas keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan mereka kerana yang telah mati itu tidak akan hidup kembali tetapi kehidupan keluarga mangsa tetap diteruskan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Hukuman qisas adalah satu-satunya bentuk hukuman yang boleh menyelamatkan manusia seluruhnya daripada bahaya pembunuhan yang bertambah-tambah dari masa ke masa. Suatu pembunuhan tidak diikuti oleh pembunuhan lain atau ganti rugi akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam mendendam.

Mengikut Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al Mujtahid, para ulama adalah sepakat mengatakan kadar diyat bagi pembunuhan yang disengajakan adalah 100 ekor unta. Tetapi para ulama berbeza pandangan tentang jenis unta yang perlu dibayar itu. Imam Shafie berpendapat 100 ekor unta yang mahal harganya iaitu hendaklah terdiri daripada 30 ekor hiqqah (unta betina berumur tiga tahun), 30 ekor jadza’ah (unta betina berumur empat tahun) dan 40 ekor khaalifah yang bunting (unta betina yang berumur lebih lima tahun.)

Jika melihat kepada jumlah diyat itu sudah pasti kita akan mendapati bahawa pembayaran diyat itu mampu menjamin kehidupan keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang. Mungkin inilah yang dinyatakan ALLAH bahawa dalam qisas itu ada suatu jaminan kehidupan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Rakyat tak perlu panik, tapi kena bijak urus kewangan
  2. HFMD makin membimbangkan
  3. Hubungan yang tidak putus
  4. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  5. Ancaman stagflasi mula dirasai